'Mana angka majoriti setuju ubah format liga baharu Liga M?'


  • Podium
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Penstrukturan baharu Liga M musim depan mengundang polemik ramai pihak. — Gambar hiasan/Facebook Penang Football Club

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang bersedia untuk melakukan penstrukturan Liga Malaysia (Liga M) sudah semestinya mendapat pelbagai respons daripada pelbagai pihak.

Perkara itu masih menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan berikutan keputusan yang dibuat seolah-olah tidak mendapat persetujuan majoriti daripada pemilik kelab bola sepak di negara ini.

Pemerhati sukan, Zuraimi Zukri mempersoalkan ketelusan keputusan yang dibuat oleh MFL selaku badan pengelola Liga M dalam pelaksanaan keputusan yang diumumkan pada Rabu lepas.

"MFL sebenarnya perlu keluarkan keputusan, berapa undi menolak, berkecuali dan menyokong.

"Benda ni biasa berlaku dalam liga besar Eropah. Setiap keputusan tentang aktiviti dan perjalanan liganya, mereka akan keluarkan kiraan tersebut," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Zuraimi berasakan, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang memberi alasan tersendiri menyokong format baharu Liga M, mungkin tidak mewakili suara majoriti.

"Merata-rata aku nampak kenyataan Zamsaham dan Dr. Johan yang setuju dengan keputusan MFL tentang struktur baharu liganya.

"Kenyataan itu digunakan oleh individu dan page kononnya ia sudah mendapat persetujuan 'majoriti'. Itu baru 2/18 kalau campur kelab Johor Darul Takzim (JDT) baru 3/18.

"Lagi 10 pasukan perlu keluarkan kenyataan macam tu baru boleh jadikan ia sandaran kukuh. Dia (MFL) pergi buat dua (kenyataan) macam majoriti dah.

"(Kena buat) berapa menyokong dan berapa menolak. Bukan hanya muat naik (kenyataan dua ke tiga individu) cakap setuju, semua kira setuju," dakwanya lagi.

Mengulas mengenai perkara itu dalam satu hantaran lain, Zuraimi berkata, MFL perlu keluarkan angka bersetuju, berkecuali dan menentang mengenai jumlah pasukan Liga Super, jumlah pemain import, liga simpanan, syarat pemain import dan pemain lebih umur dalam liga simpanan serta pendaftaran 32 pemain.

"Perkara pertama mengenai jumlah pasukan Liga Super aku percaya semua pasukan bersetuju.

"Nombor dua (jumlah pemain import) aku tak rasa semua dan nombor tiga (liga simpanan) paling musykil.

"Kalau MFL tak keluarkan keputusan 'undian' tu macam mana orang nak tahu keadaan sebenar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram