Sumbat 2 gol depan penyokong, reaksi Al Mardi sungguh 'humble'


  • Podium
  • Rabu, 20 Jul 2022

PEMAIN import KDA FC dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi menjaringkan dua gol ketika menang 3-1 ke atas Sarawak United FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Selasa.

PEMAIN import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al-Mardi mencuri tumpuan selepas dua gol beliau membantu skuad Sang Kenari menewaskan Sarawak United 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Selasa.

Pemain kebangsaan Jordan itu ternyata berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan Sarawak United dan gol ketiga Kedah yang dihasilkan Al-Mardi sangat menarik untuk ditonton semula.

Al-Mardi akui bahawa gol itu bukan dihasilkan daripadanya tetapi gol itu sebenarnya dihasilkan oleh tuhan.

"Dua gol dalam perlawanan ini memberi motivasi penting buat saya apabila kali pertama bermain di depan penyokong sendiri.

"Gol seperti itu pernah saya hasilkan ketika beraksi dalam liga di Bahrain tahun lalu. Alhamdulillah, ia dhasilkan daripada Tuhan, bukan daripada saya,” kata Al-Mardi.

Pemain berusia 28 tahun itu berharap agar rentak cemerlang yang beliau pamerkan semalam dapat dikekalkan sekali gus dapat membantu pasukan Kedah memperbaiki kedudukan di carta Liga Super.

"Saya berharap dapat terus menjaringkan gol dan membantu pasukan memburu kemenangan serta berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang membantu saya dalam menghasilkan dua jaringan itu.

"Paling penting adalah kemenangan pasukan dan memuaskan hati penyokong yang tidak jemu datang ke stadium,” katanya kepada media tempatan.

KDA FC kini berada di kedudukan ke-4 Liga Super dengan mengumpul 17 mata selepas 11 perlawanan yang diharungi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Al-Mardi, Kedah, Liga Super, Gol, Tuhan