Tiada lagi 'cowgrass' di SNBJ Mac 2023


  • Podium
  • Rabu, 13 Jul 2022

PSM menegaskan mereka sudah baiki keadaan padang selepas tamat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 bulan lalu. — Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi mengesahkan proses penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan bermula pada Mac 2023, lapor Vocket FC.

Pada Mac lalu, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ.

Menurut Faidz, pihaknya sedang berurusan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan bagi mendapatkan dana termasuk tajaan diumumkan TMJ.

"Kerja penukaran rumput akan dimulakan Mac tahun depan. Seperti diumumkan sebelum ini, dana diberikan Tunku Ismail akan digunakan dan ia perlu melalui Kementerian Kewangan," katanya menurut laporan media tempatan.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak.

tmj-1

TMJ mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ. Facebook JDT

Ia juga menjadi masalah bila ‘sliding tackle’ dilakukan kerana rumput akan tercabut.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu.

Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.

SNBJ dalam

Keadaan padang SNBJ ketika kelayakan Piala Asia 2023 dikecam hebat oleh para peminat bola sepak tempatan. Agensi

Sebelum ini, keadaan padang yang teruk di SNBJ ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 dikecam hebat oleh para peminat bola sepak tempatan dan air bertakungan akibat hujan lebat ketika perlawanan menentang Bahrain menyebabkan padang menjadi becak sekali gus menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Malah, FAM mungkin memilih venue di luar Lembah Klang sebagai lokasi perlawanan Piala AFF jika penggunaan SNBJ tidak mendapat kelulusan badan induk bola sepak Asia Tenggara (AFF).

Bagaimanapun, PSM menegaskan mereka sudah baiki keadaan padang selepas tamat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 bulan lalu.

"Kami tak ada masalah, terpulang kepada pihak yang pakar seperti FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan AFF (Persekutuan Bolasepak Asean) untuk guna atau tidak.

"Di pihak kami, saya boleh sahkan kami sudah baiki dan jaga sebaik mungkin padang termasuk menutup terus penggunaan padang selepas habis Kelayakan Piala Asia 2023, bulan lalu," jelas Faidz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, TMJ, SNBJ, Padang, Cowgrass, Zeon Zoysia, Mac 2023