Stanley Bernard ‘offer’ Stadium KL jadi rumah kedua Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 13 Jul 2022

Stadium KL hampir memenuhi piawaian yang ditetapkan sepanjang kempen Piala AFC 2022. — Agensi

STADIUM Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur bersedia menjadi venue alternatif kepada sebarang kejohanan peringkat Asia melibatkan skuad Harimau Malaya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur (KL) City FC Stanley Bernard.

Beliau berkata, kesediaan itu berikutan stadium berkenaan sudah mempunyai pengalaman mengendalikan saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada bulan Jun.

"Pengalaman yang ada buat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) serta pengurusan KL City adalah pertandingan AFC yang baru berlangsung dan semua pihak mula menaikkan (meningkatkan) taraf kerja mereka.

"Keperluan itu jika dibandingkan (saingan) domestik dengan Piala AFC mempunyai perbezaan kerana Piala AFC lebih tinggi keperluannya yang perlu dipenuhi namun saya rasa dari sudut itu kita bersedia (menganjurkan mana-mana kejohanan)," katanya pada sidang media pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada AFC berhubung langkah diambil bagi memastikan keadaan padang serta aspek pencahayaan menghampiri piawaian ditetapkan semasa kempen Piala AFC 2022.

Stanley berkata, bagi memastikan stadium itu bersedia menganjurkan kejohanan besar pada masa akan datang, pihaknya mewujudkan sebuah jawatankuasa sebagai usaha menjadikan kemudahan di venue berkenaan bertaraf elit.

"Berdasarkan pengalaman mungkin ada kita boleh perbaiki dan pelajari. Persediaan itu secara langsung menjadikan kita bersedia untuk jadi venue pengganti kepada skuad Harimau Malaya atau mana-mana pertandingan bertaraf Asia," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram