Perubahan kuota pemain import AFC jejas kelab Liga M?


  • Podium
  • Rabu, 13 Jul 2022

Jordi Amat merupakan antara import baharu yang memperkuatkan cabaran JDT menjelang baki saingan ACL musim ini. — Facebook/JDT

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju untuk mengubah kuota pemain import yang dibenarkan untuk setiap pasukan apabila mereka beraksi dalam kejohanan anjuran badan induk bola sepak Asia itu, lapor Semuanya Bola.

Dalam perubahan tersebut, AFC mengesahkan yang mereka akan mengubah kuota 3+1 pemain import yang diguna pakai ketika ini.

Sebelum ini, AFC membenarkan satu-satu pasukan menurunkan tiga pemain import daripada mana-mana negara dan slot keempat adalah pemain import dari negara anggota AFC.

Tetapi bermula pada musim 2023/2024, AFC akan membenarkan setiap pasukan meletakkan 5+1 pemain import untuk beraksi dalam kejohanan anjuran mereka.

Lima pemain import itu adalah bebas daripada mana-mana negara akan tetapi slot keenam mestilah daripada negara anggota AFC.

mfl_1553858851

Tidak terkejut jika MFL turut membenarkan kuota enam pemain import supaya ianya selari dengan badan induk bola sepak Asia. Facebook MFL

Apa kesan kepada pasukan Malaysia?

Semestinya, pasukan Malaysia akan terkesan dengan perubahan peraturan ini.

Tetapi sejauh mana impaknya kepada percaturan wakil negara di kejohanan AFC kelak?

Setakat ini, peraturan yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) adalah pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan lima pemain import untuk saingan Liga Malaysia.

Akan tetapi, pecahannya adalah tiga pemain import bebas, satu haruslah berasal dari Asia dan satu lagi slot terhad untuk pemain dari Asia Tenggara sahaja.

Jika diikutkan, pasukan-pasukan Malaysia tiada masalah untuk memenuhi kriteria baharu AFC itu. Malah, tidak terkejut jika MFL turut membenarkan kuota enam pemain import supaya ia selari dengan badan induk bola sepak Asia.

Akan tetapi, jika ia dilakukan oleh MFL, itu adalah satu langkah yang tidak wajar kerana kelab akan semakin melebihkan pemain luar berbanding pemain tempatan.

Tambahan lagi, pasukan yang sering berbelanja di luar kemampuan akan cuba memenuhkan kuota pemain import dan ini akan membuatkan drama tak bayar gaji pemain semakin teruk.

Jadi, Semuanya Bola berasakan pasukan dari Malaysia tak akan terkesan dengan perubahan AFC ini dan tidak ada sebarang keperluan untuk MFL mengikuti kuota baharu itu demi menjaga status pemain tempatan di Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MFL, Kuota Import, AFC, Perubahan