KECEDERAAN lutut yang dialami kapten pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd. Radzak semakin pulih dan dijangka akan kembali memulakan latihan penuh dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Zaquan terpaksa diketepikan dalam aksi menentang Sabah FC pada 3 Julai lalu selepas mengalami kecederaan mengejut di bahagian lutut pada hari perlawanan.
Menurut pemain berusia 35 tahun ini, doktor mengesahkan kecederaan tersebut berpunca daripada kesan pembedahan yang lalu menyebabkan lutut kirinya bengkak.
Namun, keadaannya kini beransur pulih selepas dua minggu dan bersedia untuk diturunkan dalam aksi berdepan Terengganu FC pada 27 Julai jika tahap kecergasannya memuaskan.
“Saya sepatutnya ada dalam skuad untuk lawan Sabah tempoh hari, tetapi selepas bangun dari tidur pada hari perlawanan, saya dapat rasa lutut bengkak.
“Jadi, nak berjalan kena pakai tongkat dan doktor cakap ini adalah kesan daripada proses pembedahan yang banyak kali sebelum ini yang saya pernah buat.
“Jadi, mungkin ada serpihan lebih yang membuatkan lutut saya bengkak, tapi sekarang selepas menjalani proses pemulihan, semuanya sudah beransur pulih,” jelasnya kepada MFL.
Juara Liga Premier 2021 ini telah tersingkir awal dalam saingan Piala FA dan akan berdepan Terengganu FC dalam aksi Liga Super pada 27 Julai ini.
Dengan kedudukan pasukan di tangga ketiga liga ketika ini, Zaquan mengakui Negeri Sembilan berada di landasan yang tepat mengharungi saingan untuk memastikan skuad dalam kelompok terbaik.
“Untuk saya, kita sekarang di landasan terbaik sebab saya boleh katakan pasukan ini bukanlah pasukan pilihan untuk berada dalam kelompok lima teratas.
“Tetapi sekarang kita boleh memberi cabaran dan ketika tewas kepada Sabah tempoh hari, jangan kita lihat atas kekalahan sahaja.
“Betul, kita banyak kekurangan tetapi kita juga lebih realistik dan sekarang selepas jendela perpindahan kedua, semua pasukan sudah mula buat percaturan yang berbeza," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram