Duda anak 3 dijumpai dalam longkang tidak sedarkan diri


  • 112
  • Selasa, 12 Jul 2022

Tangkap layar video yang memaparkan mangsa berada di dalam longkang dipercayai kerana dipukul. — Facebook

SEORANG duda tiga anak yang dipercayai dipukul ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah longkang tepi jalan berhampiran bulatan Chempaka, Pengkalan Chepa, Kelantan pada Ahad.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditemukan pada pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat berhubung kejadian pecah cermin kereta dan seorang lelaki tidak sedarkan diri dijumpai di dalam longkang.

"Mangsa adalah seorang duda yang berasal dari Tawang, Bachok, Kelantan dan mempunyai tiga anak.

"Mangsa bekerja sebagai mekanik bergerak dan memakai kemeja T berwarna putih serta berkain sarung ketika ditemui oleh orang awam di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kelantan oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa dipercayai diserang beberapa individu dan mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala.

"Lelaki itu kini dirawat di HRPZ II dan masih belum sedarkan diri serta memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Menerusi video itu, keadaan kereta yang dipercayai dinaiki mangsa juga mengalami kerosakan dan pecah di bahagian cermin belakang.

Sebelum ini Majoriti ada melaporkan tentang seorang lelaki cedera dipukul didakwa kerana mengganggu isteri orang dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kampung Chempaka, Kelantan.

Menerusi video tular berdurasi lebih 30 minit yang dimuat naik di Facebook, lelaki itu didakwa dipukul dua lelaki lain hingga tercedera masuk ke dalam longkang.

Mangsa kemudian mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Duda, Dipukul, Ganggu, Longkang, Rawatan, Polis, Kelantan