PEMAIN pertahanan negara, Junior Eldstal nyata teruja apabila kembali beraksi bersama kelab lamanya, Johor Darul Takzim (JDT) bagi menghadapi baki saingan musim 2022, lapor Vocket FC.
Baru-baru ini, JDT mengumumkan mereka menandatangani Junior yang sebelum ini beraksi dalam saingan Thai League 1 bersama Chonburi bagi memperkuatkan bahagian pertahanan.
Junior beraksi selama satu setengah musim bersama Chonburi yang mana dia sebelum ini pulang ke England bagi beraksi bersama salah sebuah kelab liga amatur di sana.
"It's good to be home (Alangkah bagusnya kembali semula)," ciap Junior di Twitter.
Bersama Chonburi, pemain berusia 30 tahun itu menjadi pilihan ketua jurulatih pasukan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Secara keseluruhan, Junior tampil dalam 32 perlawanan dan menjaringkan dua gol.
Prestasi yang ditampilkan oleh Junior bersama Chonburi nyata membuka mata ketua jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, Tan Cheng Hoe untuk memanggil dia bagi beraksi dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Junior kembali ke JDT selepas dua tahun bersama Chonburi di Thailand. — Facebook/Johor Southern Tigers
Apabila Kim Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih yang baharu, pengendali dari Korea Selatan itu masih memberi kepercayaan kepada pemenang Pesta Bola Merdeka 2013 itu untuk membarisi pasukan dalam saingan kelayakan pusingan ketiga Piala Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Di JDT, Junior Eldstal akan bersaing dengan pemain pertahanan tengah lain seperti Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan, Shane Lowry, Carli de Murga, Shahrul Saad dan seorang lagi pemain baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini iaitu Jordi Amat.
Selain mengumumkan ketibaan Junior, JDT juga menandatangani seorang lagi pemain import iaitu Levy Madinda yang pernah beraksi bersama Sabah musim lalu.
Pemain yang berusia 30 tahun ini turut mempunyai 53 kaps bersama skuad kebangsaan Gabon dan juga merupakan rakan sepasukan kepada bintang terkemuka dunia, Pierre-Emerick Aubameyang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram