Cedera hamstring, letak ais 2 ke 3 hari boleh baik — Ahli fisioterapi


  • Podium
  • Khamis, 07 Jul 2022

Tahap kecergasan Ifedayo dipersoal hingga mampu menjaringkan dua gol sekali gus menyumbang tiga mata kepada Melaka. — Facebook

AKSI penyerang Melaka United, Ifedayo Olusegun yang meledak dua gol ketika pertemuan dengan Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, pada Selasa menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ini kerana import dari Nigeria itu dilaporkan mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan hingga dia tidak dapat diturunkan ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT), pada 2 Julai lalu.

Kembalinya Ifedayo dalam kesebelasan utama skuad Hang Tuah membuatkan ramai penyokong bola sepak tanah air mempersoalkan bagaimana dia pulih dengan cepat, malah di tahap kecergasan terbaik hingga mampu menjaringkan dua gol sekali gus menyumbang tiga mata kepada Melaka.

Ahli Klinikal Fisiologi Senam, Dr Hashbullah Ismail berkata, kecederaan hamstring minimal boleh pulih dalam masa antara dua hingga tiga hari jika ketegangan otot yang dialami sangat ringan.

"Kalau kecederaan tidak severe (teruk), letak ais dalam tempoh dua ke tiga hari boleh baik dan tiada masalah untuk bermain.

"Tapi tahap kecederaan itu perlu didiagnosis betul-betul oleh doktor ortopedik atau ahli fisioterapi yang memberi rawatan kepada seseorang pemain itu.

DrHasbullahweb

Hashbullah berkata, kecederaan hamstring minimal boleh pulih dalam dua hingga tiga hari jika ketegangan otot dialami sangat ringan.

"Hanya dia (pemain) dan doktornya sahaja yang tahu tahap keseriusan kecederaan dan stres otot yang dialami. Boleh jadi kecederaan itu full hamstring injury yang mana ambil tempoh lebih lama untuk pulih," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, ahli fisioterapi Akademi Armel yang hanya mahu dikenali sebagai Saza berkata, apabila pemain mengalami kecederaan hamstring yang teruk, mereka akan mengalami keradangan dan bengkak di bahagian otot yang cedera.

"Untuk pemain kembali perform dengan bagus seperti sedia kala akan mengambil masa sehingga 14 hari.

"Kalau kecederaan Tahap 1 yang mana ia melibatkan ketegangan ringan pada otot, tempoh sekurang-kurangnya lima hari diperlukan. Tiga hari tak cukup kerana masih ada bengkak dan keradangan," katanya.

Ketika ditanya sama ada bolehkah pemain itu diturunkan bermain, Saza berkata, keputusan itu bergantung kepada jurulatih atas nasihat ahli fisioterapi.

"Ahli fisioterapi akan menilai pemulihan pemain dari segi kekuatan, julat pergerakan dan faktor-faktor lain. Mereka akan menasihatkan untuk tidak menurunkan pemain itu jika kecederaannya masih belum pulih.

"Ini kerana dikhuatiri kecederaan itu akan bertambah teruk daripada yang dialami sebelum ini yang sekali gus menyukarkan proses pemulihannya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram