Budak 3 tahun kritikal telan dadah di Kuala Krai


  • 112
  • Isnin, 20 Jun 2022

Doktor menemukan dadah dalam badan kanak-kanak itu selepas dibawa ibunya ke hospital. — Awani

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan berada dalam keadaan kritikal selepas pihak hospital menemui dadah dalam badannya di Hospital Gua Musang, Kelantan pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan, bapa saudara mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

"Satu laporan kita terima daripada doktor di Gua Musang pada pukul 5 pagi Ahad selepas pengadu terima pesakit kanak-kanak kritikal berusia 3 tahun 9 bulan dibawa oleh ibu.

"Apabila diperiksa didapati dalam tubuh kanak-kanak ada kandungan dadah. Kes ini agak mengejutkan.

"Kanak-kanak ini dipercayai di bawah jagaan bapa saudaranya ketika kejadian dan siasatan kini dijalankan bagi memastikan sama ada kanak-kanak ini diberi dadah atau dibiarkan terdedah kepada dadah," katanya.

Menurut Muhamad Zaki, pihak polis menerima laporan dari doktor hospital berkenaan yang menemui dadah jenis Methamphetamine dalam badan mangsa dengan berat dadah belum diketahui.

Susulan itu pihak polis telah menahan bapa saudara kanak-kanak berusia 32 tahun di Kuala Krai, Kelantan sekitar pukul 10 malam Ahad dan akan direman pada Isnin.

Hasil soal siasat, suspek mengaku membawa anak saudaranya ke tempat yang dipercayai port dadah.

Muhamad Zaki berkata, kanak-kanak itu telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Pihaknya juga sedang menjalankan siasatan sama ada berlaku kecuaian pada ibu bapa kanak-kanak malang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram