FAM lantik Osmera jurulatih baharu skuad muda negara


  • Podium
  • Khamis, 09 Jun 2022

Christopher (dua dari kanan) dan Osmera (kanan) ketika sidang akhbar mengenai pengumuman barisan kejurulatihan pasukan B-17 di Wisma FAM pada Khamis.— Bernama

BEKAS ketua jurulatih Akademi Mokhtar Dahari, Osmera Omaro dilantik sebagai pengendali pasukan bawah-17 (B-17) negara.

Dengan pelantikan itu, Osmera, 43, akan dibantu dengan beberapa bekas pemain berpengalaman termasuklah Amirizdwan Taj Tajuddin yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Osmera mengakui, beliau terkejut apabila dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggalas tugas mengendalikan pasukan B-17 negara memandangkan beliau bukanlah seorang individu yang popular berbanding pemain seangkatannya dahulu.

“Sebenarnya saya langsung tidak terfikir akan dilantik untuk mengendalikan pasukan B-17 negara. Malah ketika diberitahu, saya memang sangat terkejut.

“Ini kerana kalau diikutkan saya bukanlah bekas pemain yang popular berbanding pemain lain. Bagaimanapun, saya sebenarnya sudah berada lama dalam industri bola sepak ini.

“Apa-apapun terima kasih kepada FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menyokong pelantikan saya ini,” katanya kepada media ketika pengumuman ketua jurulatih baharu pasukan B-17 negara di Wisma FAM pada Khamis.

Selain Osmera dan Amirizdwan Taj, FAM turut mengumumkan barisan kejurulatihan B-17 iaitu Efendi Abd Malek (penolong jurulatih), V.Kavichelvan (penolong jurulatih) Mohd Nasril Mat Nourdin (jurulatih penjaga gol), Khairal Afiq Jamal Haziq (jurulatih kecergasan) dan Aimerul Mat Nuar (juruanalisis video).

Dalam pada itu, pengurus skuad B-17 negara, Christopher Raj turut mengumumkan sasaran yang diletakkan kepada Osmera iaitu untuk sekurang-kurangnya berada di peringkat separuh akhir kejohanan AFF remaja bawah-16 di Indonesia yang akan bermula 6 hingga 18 Ogos selain melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia B-17 2023 di Bahrain tahun depan.

“Kami sasarkan untuk pasukan ini layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 yang akan berlangsung di Bahrain. Jadi jika kami mahu layak ke kejohanan itu pasukan mesti menamatkan saingan di kedudukan teratas kumpulan atau menjadi pasukan kedua terbaik dalam semua kumpulan yang ada.

“Kami mengakui ia bukan satu tugas mudah kerana dalam kumpulan kami ada pasukan hebat seperti tuan rumah Indonesia, Palestin, Guan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Sebab itu, kami perlu menyediakan pemain supaya mereka boleh beraksi dengan baik pada saingan kelayakan itu," katanya.

Christopher berkata, sebagai permulaan, pasukan kejurulatihan bakal mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi kedua-dua kejohanan itu.

Katanya, setakat ini pasukan itu sudah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Arab Saudi sahaja untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram