Arif Aiman selamba 'halau' Farizal lepas menang benam Hong Kong


  • Tular
  • Khamis, 02 Jun 2022

Tangkap layar gelagat Arif Aiman dan Farizal Marlias sewaktu sesi temu bual bersama media selepas perlawanan menentang Hong Kong.

SELEPAS berjaya membelasah Brunei 4-0 pada Jumaat lalu, Harimau Malaya sekali lagi melakar kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong pada aksi persahabatan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dua jaringan yang berjaya menembusi gawang Hong Kong itu adalah menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid pada babak pertama dan gol kedua pasukan negara pula hasil sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-90.

Dalam keseronokan meraih kejayaan itu, muncul pula gelagat mencuit hati daripada dua pemain kebangsaan, Farizal Marlias dan Arif Aiman Mohd Hanapi ketika sesi temu bual bersama media selepas perlawanan.

Menerusi sebuah klip berdurasi 46 saat itu memaparkan pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman "menghalau' penjaga gol kebangsaan, Farizal sewaktu sesi temu bual bersama media, Astro Arena.

Rakaman video Arif Aiman mengusik Farizal pada sesi temu bual bersama media selepas perlawanan.

"Dah-dah pergi naik," ujar Arif Aiman sambil menolak Farizal yang juga rakan sepasukannya di Johor Darul Takzim (JDT)

"Ohh kau tolak aku macam begitu je. Ohh mentang-mentang MVP, dia berlagaklah. Berlagak budak ini," jawab Farizal.

Farizal mengusik Arif Aiman dengan perkataan MVP adalah merujuk kepada Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) yang dimenangi pemain muda itu pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21).

Dalam pada itu, video yang tular di Facebook itu meraih perhatian dari warganet dan bagi penyokong khususnya pasukan JDT menyifatkan gelagat kedua pemain itu adalah usikan biasa antara rakan pasukan.

Sementara itu, aksi menentang Hong Kong pada Selasa itu merupakan perlawanan persahabatan terakhir sebelum skuad kebangsaan membuka tirai Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional menentang Turkemistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram