Maloney masih pertaruh skuad sama Sukan SEA ke Piala Asia B-23 termasuk kapten, cuma tambah 3 muka baharu


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

Skuad muda kebangsaan bakal memulakan cabaran di Uzbekistan menentang Korea Selatan pada 2 Jun.

WALAUPUN terlepas peluang membawa pulang sebarang pingat, kesemua pemain skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan, sekali lagi dipertaruhkan bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan bermula 1-19 Jun ini.

Selain barisan 20 pemain yang telah mewakili negara pada temasya dwitahunan di Vietnam itu baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan memaklumkan tiga lagi muka baharu turut dibawa bagi melengkapkan senarai akhir 23 pemain ke Uzbekistan.

Menurut FAM, tiga pemain yang dibawa masuk pengendali Brad Maloney adalah Muhammad Rahadiazli Rahalim, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dan Muhammad Shafi Azswad Sapari, yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia ke Sukan SEA 2021.

Bagi saingan edisi kali ini, misi getir menanti Malaysia apabila diundi bersama juara 2020, Korea Selatan, naib juara 2018, Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan C.

Skuad muda kebangsaan bakal memulakan cabaran di Uzbekistan menentang Korea Selatan pada 2 Jun, diikuti Thailand pada 5 Jun dan Vietnam pada 8 Jun depan, dalam perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent.

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan seterusnya bakal layak ke suku akhir.

Berikut senarai 23 pemain yang akan beraksi dalam kempen Piala Asia B-23 2022 Tashkent, Uzbekistan:

Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afi Rusmini, Quentin Cheng Jiun-Ho, Harith Haiqal Adam Akfar, Ahmad Danial Ahmad Asri, Muhamad Syahir Bashah (Selangor FC); Muhammad Faiz Amer Runnizar (Selangor FC 2); Muhammad Rahadiazli Rahalim, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Hairiey Hakim Mamat (Terenganu FC); Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Muhammad Safwan Mazlan (Terengganu FC II); Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan (Johor Darul Takzim II); Muhammad Shafi Azswad Sapari (Johor Darul Takzim III); Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk); Muhammad Azri Ab Ghani (Kuala Lumpur City FC); Mohd Aiman Afif MD Afizul (Kedah Darul Aman FC); Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili (Skuad Projek FAM-MSN); Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Azul Claro); Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil (PDRM FC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram