De Paula tak peduli kritikan peminat Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

De Paula diasak pemain Brunei ketika perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, pada Jumaat. — Facebook/FAM

JIKA sebelum ini persembahan pemain naturalisasi, Guilherme De Paula sering mendapat kritikan peminat bola sepak negara setiap kali dia menyarung jersi Harimau Malaya, namun persembahan dalam perlawanan pada Jumaat, kelihatan lebih meyakinkan ramai.

Jaringannya menerusi sepakan penalti untuk memberikan kemenangan 4-0 menewaskan Brunei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, sudah cukup untuk membungkam pengkritik, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Rata-rata penyokong bola sepak negara di Stadium Nasional Bukit Jalil melompat dan bersorak riang selepas De Paula menyempurnakan sepakan penalti itu, dan jelas namanya sering dilaungkan setiap kali bola sampai di kaki penyerang kelahiran Brazil itu.

Menyedari yang dia sering menjadi sasaran pengkritik, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu berkata, dia enggan tunduk terhadap tekanan, kerana tahu kualiti permainannya dan apa yang boleh diberikan kepada pasukan kebangsaan.

"Ada ketika prestasi anda baik, dan ada ketika buruk. Anda perlu tahu bahawa perkara ini (kritik) sentiasa ada dalam bola sepak. Apabila dikritik, saya hanya terus berlatih dan bekerja lebih keras,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Merujuk kepada perlawanan tersebut, pemain berusia 35 tahun itu percaya kemenangan besar berkenaan akan memberikan motivasi kepada rakan sepasukan untuk beraksi lebih baik menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan seterusnya pada 1 Jun.

Sementara itu, V. Ruventhiran, yang membuat penampilan pertamanya untuk Malaysia, menyifatkan pengalaman itu sebagai permulaan yang baik untuknya sebagai pemain kebangsaan, dan mengakui amat gembira menjadi antara kesebelasan utama menentang Brunei.

"Ini baru permulaan, saya akan terus berjuang dan bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan selepas ini,” tambahnya.

Pemain Petaling Jaya City FC itu mengakui bahawa ketua jurulatih, Kim Pan-gon amat tegas dan sentiasa mahukan supaya pemain mengekalkan kualiti yang mereka ada, sama ada dalam sesi latihan mahupun pada hari perlawanan.

Selepas perlawanan menentang Hong Kong, skuad Harimau Malaya kemudiannya akan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram