PlayStation Plus kini sudah dilancarkan di Malaysia


  • eSports
  • Rabu, 25 Mei 2022

PlayStation Plus (PS) kini berwajah baharu dalam langkah Sony untuk bersaing dengan Xbox Game Pass keluaran Microsoft. — Agensi

SELEPAS 12 tahun dilancarkan, PlayStation Plus (PS) kini berwajah baharu dalam langkah Sony untuk bersaing dengan Xbox Game Pass keluaran Microsoft.

Pembaharuan PS Plus itu kini telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Selasa, yang membawakan tiga tahap langganan iaitu Essential, Extra dan Deluxe.

Minggu lalu, Sony telah mendedahkan serba sedikit permainan popular yang akan menghiasi 'Game Catalog', iaitu yang terdapat dalam Extra dan Deluxe yang mana inilah koleksi game yang sebenarnya bersaing secara langsung dengan Xbox Game Pass.

Bersempena dengan pelancaran penuh PS Plus baharu di beberapa negara Asia, termasuk Malaysia, Sony telah mendedahkan senarai penuh ratusan permainan yang ditawarkan dalam 'Game Catalog'.

PS 3

Sony menegaskan yang senarai video permainan yang ada dalam Extra dan Deluxe akan ditambah, dan mungkin sesetengahnya dibuang pada setiap pertengahan bulan. — Agensi

Selain itu, pemain juga boleh melihat senarai ini di PlayStation Store konsol PS4 dan PS5.

Sony juga mendedahkan kesemua permainan yang boleh pelanggan Deluxe mencuba dalam 'Game Trials', ialah Horizon Forbidden West, Tiny Tina’s Wonderlands, Cyberpunk 2077, WWE 2K22, UNCHARTED: Legacy of Thieves Collection , Hot Wheels Unleashed, LEGO CITY Undercover, Biomutant, Farming Simulator 22, MotoGP 22 dan ELEX 2.

Tempoh percubaan dalam 'Game Trials' ini berbeza mengikut permainan, ada yang boleh dicuba sehingga lima jam, dan ada juga hanya dua jam dan masa percubaan itu hanya akan berjalan apabila pemain masuk ke dalam permainan itu, bukannya bermula dari waktu muat turun.

Seperti yang Sony katakan sebelum ini, senarai video permainan yang ada dalam Extra dan Deluxe akan ditambah, dan mungkin sesetengahnya dibuang pada setiap pertengahan bulan dengan menambah barisan permainan baharu.

Untuk pelanggan baharu yang tidak mempunyai langganan PS Plus secara aktif sebelum ini, tentunya mudah sahaja untuk memahami dan memilih tahap mana yang ingin dilanggan yang mana harganya sudahpun diumumkan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, untuk pelanggan PS Plus sedia ada, ia secara automatiknya ditukarkan ke tahap Essential dan tiada caj tambahan dikenakan, sebaliknya mereka hanya perlu menukar nama dengan manfaat yang sama.

PS DALAM 1

Sony berjanji untuk membawa masuk lebih banyak permainan baharu ke dalam Extra dan Deluxe. — Agensi

Manakala, pakej Deluxe pula akan menawarkan segala manfaat Essential dan Extra, serta ditambah dengan katalog daripada video permainan klasik PS1, PS2 dan PSP dan semuanya dalam bentuk muat turun dan tiada permainan daripada PS3 ditawarkan buat masa ini.

Selain itu, Deluxe juga akan menawarkan beberapa sesi percubaan untuk beberapa permainan baharu sebelum pemain memutuskan untuk membelinya.

PlayStation Plus Deluxe berharga RM50 sebulan, RM130 untuk tiga bulan dan RM309 setahun.

Menurut Sony, mereka akan lebih banyak berkerjasama dengan studio lain, sama ada dari PlayStation Studios sendiri atau penerbit pihak ketiga, untuk membawa masuk lebih banyak permainan baharu ke dalam Extra dan Deluxe.Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram