Saya minta maaf, paling kecewa dengan diri sendiri — Luqman Hakim


  • Podium
  • Isnin, 23 Mei 2022

Luqman Hakim gagal menjaringkan penalti yang menyaksikan pasukan negara tewas 3-4 dengan Indonesia dalam penentuan pingat gangsa temasya Sukan SEA 2021. — Bernama

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin memohon maaf atas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan penentuan gangsa antara Malaysia menentang Indonesia pada Sukan SEA ke-31, pada Ahad.

Luqman Hakim dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan di Stadium Nasional My Dinh, di Hanoi, Vietnam, menjadi dua pemain yang gagal menjaringkan penalti, justeru menyaksikan pasukan negara tewas 3-4 dan pulang tanpa sebarang pingat.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang berpangkalan di Belgium bersama kelab KV Kortrijk, berkata, tiada individu yang lebih kecewa daripada dirinya selepas terlepas penalti tersebut dan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan itu.

"Memang kecewa, saya amat kecewa dengan sepakan penalti saya, Malaysia bermain baik dengan serangan demi serangan tetapi penalti saya dan Hadi tidak dapat bantu Malaysia raih gangsa.

"Saya minta maaf pada rakyat Malaysia, ibu bapa saya, penyokong bola sepak tempatan dan semua pihak,” katanya.

Pemenang perlawanan itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan sebenar.

Terdahulu, Ronaldo Joybera R Junior menjaringkan gol bagi Indonesia manakala Muhammad Hadi menyumbang gol buat pasukan negara.

Pada babak penentuan itu, percubaan Luqman Hakim dan Muhammad Hadi diselamatkan penjaga gol lawan iaitu Ernando Ari Sutaryadi, manakala bagi Indonesia, hanya Asnawi Mangkualam Bahar gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah rembatannya menggegar palang.

Sementara itu, Luqman Hakim mahu segera melupakan kekecewaan di Hanoi dan berazam memperbaiki kelemahannya menjelang Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022.

"Saya perlu bangkit daripada kekalahan ini untuk fokus kepada saingan di Uzbekistan sebab banyak perlawanan perlu ditempuh, jadi saya perlu letak tepi kekecewaan ini dengan cepat. Saya tidak akan berputus asa dan akan berikan terbaik di Uzbekistan,” kata pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Pada penampilannya di temasya dwitahunan itu, Luqman Hakim mengumpul tiga gol yang diraih dalam saingan Kumpulan B iaitu dua gol dijaringkan ketika berdepan Laos dan satu ketika menentang Singapura. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram