PRESTASI pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menjadi bualan peminat bola sepak tempatan terutama selepas gagal membantu Harimau Muda memperoleh pingat dalam temasya Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam.
Tewas dengan Indonesia dalam penentuan pingat gangsa menerusi sepakan penalti, rata-rata peminat meluahkan rasa kecewa terutama dengan persembahan pemain yang disifatkan tiada 'hala tuju'.
Bersama kekecewaan itu, peminat turut mengkritik prestasi pemain penyerang skuad B-23, Luqman Hakim yang gagal menyempurnakan penalti dalam perlawanan tersebut.
Bermain untuk kelab bola sepak Belgium, KV Kortrijk, prestasi Luman dikatakan semakin merudum dan tidak menyinar seperti pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman.
Meninggalkan komen dalam hantaran di akaun Facebook, HarimauMalaya, pemilik akaun, Kasawari Kawasaki mencadangkan supaya Luqman keluar dari kelab Eropah tersebut dan bermain di Liga Malaysia.
Pada pandangannya, Luqman tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif sebagai pemain yang dilatih di luar negara.
"Tolong bawa Luqman keluar dari KV Kortrijk, tiada perubahan, malah teknik permainannya semakin tumpul.
"Kasihan lihat pemain wonderkid terperap bertahun-tahun di Eropah sedangkan rakan sebaya (Arif Aiman) jadi bintang dalam liga tempatan," katanya.
Tambahnya lagi, Luqman belum bersedia untuk menempuh landskap bola sepak di Eropah yang mana lebih mencabar untuknya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik akaun, Ridzwan Abu turut menyatakan pandangan sama dan menyatakan bahawa Luqman masih boleh pergi jauh meskipun hanya bermain bersama kelab tempatan.
Komennya, Luqman perlu kerap bermain dalam perlawanan untuk menajamkan lagi kemahirannya dalam bola sepak dengan mendapatkan lebih banyak minit permainan.
"Luqman kena berpijak pada realiti, bola sepak perlu selalu main. Jika pergi Eropah buat badan, tidak menjanjikan apa-apa kalau sepak ke laut.
"Lebih baik main liga tempatan dari bawah, jika berikan persembahan terbaik , tetap boleh pergi jauh, minit permainan itu penting,' ujarnya.
Sepanjang penglibatan di Sukan SEA, Luqman akhirnya menamatkan kemarau jaringan lebih dua tahun di pentas antarabangsa selepas meledak dua gol untuk membantu Malaysia menewaskan Laos 3-1 dalam peringkat kumpulan.
Sebelum ini Luqman pernah beraksi bersama pasukan senior di beberapa perlawanan persahabatan dan kejohanan antaranya Piala AFF Suzuki 2020 serta saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram