Pemain saya tidak dikalahkan 90 minit setiap perlawanan — Brad Maloney


  • Podium
  • Isnin, 23 Mei 2022

Tumpuan skuad B-23 selepas ini adalah Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022.

KETUA jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan. Brad Maloney berbangga dengan prestasi anak buahnya dalam saingan bola sepak Sukan SEA ke-31, bagaimanapun beliau kecewa selepas Malaysia ditewaskan Indonesia pada aksi penentuan pingat gangsa di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam pada Ahad.

Malaysia kalah 3-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam perlawanan selama 90 minit yang memaksa pemenang ditentukan melalui ‘loteri’ tanpa memasuki masa tambahan 30 minit.

Maloney berkata, ia adalah satu lagi perlawanan dalam kejohanan itu yang pasukannya mendominasi permainan dengan beberapa peluang keemasan terutamanya pada separuh masa kedua, namun gagal menamatkan perlawanan dengan keputusan yang diinginkan.

"Kami gagal membawa bola ke gawang gol, sejujurnya saya kecewa dengan keputusan ini dan pemain saya tidak dikalahkan dalam masa 90 minit dalam setiap perlawanan.

"Sukar untuk diterima, tetapi sekali lagi mereka bermain sepenuh hati dan bagi saya ia persembahan yang boleh dibanggakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Ronaldo Joybera R Junior dan pemain gantian pasukan negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak masing-masing menjaringkan gol untuk Indonesia dan Malaysia pada aksi itu.

Bagaimanapun, pada penentuan sepakan penalti itu, penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti Malaysia yang diambil Muhammad Hadi dan Luqman Hakim Shamsudin, sementara sepakan pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam Bahar menggegar palang.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dicatat skuad bimbingan Maloney dalam kempen temasya sukan dwitahunan itu, selepas kecundang di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir Khamis lepas.

Walaupun kecewa kerana pulang dengan tangan kosong, Maloney berbangga dengan komitmen dan semangat ditunjukkan anak buahnya yang sentiasa mahukan pasukan berjaya sepanjang acara dalam temasya sukan itu.

"Saya tidak boleh menyalahkan prestasi pemain. Saya percaya mereka beraksi di luar jangkaan dan bersaing dengan negara yang memiliki pemain lebih berusia dan saya berikan kredit untuk persembahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Maloney berkata, tumpuan selepas ini adalah Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022 yang menyaksikan Malaysia sekali lagi akan bertemu Vietnam dan Thailand serta pasukan gergasi, Korea Selatan.

Jurulatih berusia 50 tahun kelahiran Australia itu berkata, pengalaman melalui enam perlawanan dalam masa 14 hari di Hanoi sangat bermakna untuk para pemainnya dan berharap ia boleh digunakan semasa berhadapan saingan lebih sukar di Uzbekistan.

"Ia sudah berakhir...fokus semula untuk kejohanan seterusnya, kami akan bertemu Vietnam dan Thailand pada peringkat kumpulan kejohanan Piala Asia, jadi kami akan menentang mereka sekali lagi dan perlu bersiap sedia serta mengambil pengajaran daripada kejohanan ini (Sukan SEA),” katanya.

Kekalahan pada Ahad bermakna skuad negara gagal meraih sebarang pingat pada Sukan SEA buat kali kedua berturut-turut selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merangkul pingat perak pada edisi Kuala Lumpur 2017. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram