ISU Baddrol Bakhtiar tersasul menyebut nama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada satu sesi temu bual bukanlah suatu perkara besar yang perlu di gempar-gempurkan, demikian ujar pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir.
Menurut Ahmad Marzuki, umum sedia maklum pasukan Sabah FC merupakan pasukan kedua Baddrol selepas menghabiskan 16 tahun bersama KDA FC dan disebabkan keghairahan perlawanan pada Selasa itu juga katanya, kesilapan sebegitu boleh berlaku.
"Biasalah itu tempat jatuh lagi dikenang, ini kan pula pasukan Kedah yang boleh katakan mengiktiraf Badd sebagai antara pemain terbaik yang pernah bermain untuk Kedah.
"Bagi saya ia bukanlah perkara yang besar, kita tahu Badd (Baddrol) tidak pernah keluar bermain dengan pasukan lain selain Kedah dan dalam keghairahan meraikan kemenangan semalam (Selasa) ia boleh berlaku.
"Kita tahu juga Badd seorang yang sangat profesional dan beliau telah tunjukkan semalam (Selasa) sewaktu perlawanan menentang Penang FC," katanya kepada Majoriti.
Sehubungan itu, saat ditanya mengenai perlawanan menentang Penang FC, Ahmad Marzuki berkata, permainan yang dipamerkan barisan pemain Sabah FC adalah seperti yang telah dirancang oleh pihak pengurusan.
Malah, beliau berharap pasukan Sang Badak akan dapat kekalkan momentum kemenangan pada saingan Liga Super seterusnya selepas ini.
Sabah FC melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas menewaskan Penang FC 4-2 di Stadium Bandaraya pada Selasa.
Gol yang dijaringkan Baddrol Bakhtiar ketika pertemuan Sabah FC menentang Penang FC pada Selasa itu dipuji oleh peminat bola sepak tempatan. — Facebook
Pada satu sesi temu bual bersama Baddrol selepas perlawanan menentang Penang FC pada Selasa, penyerang Sabah FC itu telah tersalah sebut nama pasukannya kini kepada Kedah dan warganet menyifatkan pemain itu masih merindui skuad Sang Kenari.
Dalam perlawanan itu, pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan dua gol termasuk gol cantik 'overhead kick' dan secara tidak langsung namanya turut menjadi sebutan kerana jaringan yang dihasilkan dianggap cukup berkualiti serta mampu dicalonkan ke Anugerah Puskas tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram