Harimau Muda jangan cepat 'koyak' masa lawan Vietnam


  • Podium
  • Khamis, 19 Mei 2022

Pemain muda kebangsaan dikhuatiri tenggelam dalam emosi kita bertemu Vietnam seperti yang terjadi ketika aksi menentang Singapura dan Kemboja baru-baru ini. — Facebook

SKUAD Harimau Muda bakal berdepan pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan, Vietnam dalam saingan separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2021 di Hanoi, pada Khamis.

Skuad muda negara sebelum ini melepaskan peluang untuk muncul juara kumpulan bagi mengelak pertembungan sukar dengan Vietnam selepas terikat 2-2 dengan Kemboja dalam aksi pada Isnin lalu.

Meskipun kebal dengan rekod tanpa kalah pada edisi kali ini, ia sememangnya jalan sukar buat skuad muda negara untuk ke final berikutan reputasi Vietnam selaku penyandang pingat emas pada Sukan SEA 2019, selain harus berdepan ribuan penyokong tuan rumah.

Menjelang pertemuan dengan pasukan Vietnam, penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berasakan anak-anak buah Brad Maloney sukar mencipta kemenangan jika kelemahan pasukan dari segi style of play dan kawalan emosi pemain tidak diatasi serta diperbaiki segera.

Menurutnya, persembahan skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) nampak merudum selepas beberapa perlawanan ditambah dengan kegagalan pemain mengawal emosi dengan baik hingga menyebabkan mental mereka cepat 'koyak'.

"Malaysia bermain dalam keadaan kelam kabut, pemain tak dapat mengawal emosi, menyebabkan corak permainan tidak tersusun. Style of play juga nampak huru-hara.

"Apabila pemain kita beraksi dalam keadaan yang beremosi, mereka mudah untuk membuat provokasi dan menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pemain lawan serta pengadil.

"Jadi kita risau dengan sikap yang macam tu, pemain tidak dapat memberikan fokus kepada perlawanan dan cara bermain yang betul. Ini kena mantapkan semula kalau mahu menang dengan Vietnam," katanya kepada Majoriti.

281516162_700457254360847_3932164646664329832_n

Sebahagian pemain Harimau Muda ketika menjalani latihan sebelum aksi menentang Vietnam. — Facebook

Mengulas lanjut, Pekan berkata, pemain Harimau Muda juga dilihat terlalu bergantung kepada seorang dua individu selain tiada pemain bertindak sebagai play maker di tengah padang yang mengakibatkan pasukan sukar untuk mencetak gol seperti permainan yang terjadi ketika menentang Singapura dan Kemboja.

"Build up pun tak nampak tersusun dan teratur. Daripada bahagian pertahanan naik ke atas tak nampak tersusun, kita bermain macam tiada style of play yang bermutu tinggi.

"Sepatutnya mutu persembahan Harimau Muda patut meningkat dengan setiap perlawanan yang ditempuhi mereka tapi ini tidak. Nak berdepan Vietnam, dengan sokongan daripada penyokong lawan, kita takut pemain kita tenggelam dalam emosi," jelasnya.

Katanya lagi, pemain Harimau Muda perlu menerapkan mentaliti 'nothing to lose, perform your best' ketika berdepan Vietnam yang merupakan juara bertahan.

"Kalau kalah pun orang kata kalah dengan tuan rumah tapi kalau kita tidak menunjukkan satu persembahan yang bermutu tinggi seperti ketika menentang Singapura dan Kemboja, kita sukar untuk menang.

"Saya bukan nak memberikan pandangan negatif tetapi untuk menang dengan Vietnam, kita perlu bermain dengan persembahan yang cukup mantap dari segi semangat, strategi perlawanan dan emosi pun kena kawal. Tapi kalau macam tulah style of play kita, macam tulah emosi pemain, tiada build up yang betul serta berkualiti tinggi, memang takkan menang.

"Saya nampak tuan rumah (Vietnam) ada peluang lebih cerah, namun saya mengharapkan keajaiban daripada pasukan Harimau Muda. Begitupun, jika masalah-masalah tersebut tidak dapat diatasi dan diperbaiki, kelebihan sudah tentu akan berpihak kepada Vietnam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram