Pemain ‘morale down’, Trucha harap Penang FC tak putus asa buru mata sulung


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Pemain Penang FC digesa memperbaiki kelemahan serta yakin dengan kebolehan pasukan. — Penang FC

MASIH ketandusan kemenangan, Penang FC digesa memperbaiki kelemahan serta yakin dengan kebolehan pasukan.

Ketua jurulatih skuad itu, Tomas Trucha mahu anak buahnya terus berlatih dan berusaha memburu kemenangan pertama pada Liga Super musim ini.

"Saya akan membuat analisis permainan bersama pemain dan mahukan mereka kenal pasti dan perbaiki kesilapan masing-masing dalam perlawanan akan datang, agar kita dapat mencipta kemenangan pertama musim ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC malam Ahad.

Trucha berkata, pasukannya juga kehilangan tiga pemain utama iaitu Anselmo Arruda da Silva, Rafael Vitor Santos de Freitas dan Muhammad Adib Abdul Ra'op akibat kecederaan.

"Ketiga-tiga mereka adalah pemain dalam kesebelasan utama jadi kecederaan mereka memaksa kami mengubah corak pemainan dan kami memerlukan sedikit masa untuk mencari keserasian," katanya.

Trucha juga tidak menolak kemungkinan moral anak buahnya kini agak rendah namun beliau berharap mereka tidak berputus asa kerana kejohanan masih dalam awal musim.

Pada aksi berdepan Kedah pada Ahad, skuad bimbingan Trucha itu berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, bagaimanapun dua gol cetusan penyerang Kedah Wanja Ronald Ngah, menyekat kemaraan Penang FC yang terpaksa berputih mata dengan kesudahan 1-2. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram