Farah Ann mungkin tidak beraksi Sukan SEA Hanoi


  • Podium
  • Rabu, 09 Mac 2022

STATUS penyertaan Farah Ann di Vietnam akan hanya diketahui pada Sabtu. — The Star

HARAPAN untuk menyaksikan Ratu Gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi beraksi pada Sukan Sea Hanoi di Vietnam, pada 12-23 Mei 2022 semakin pudar.

Malah, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril memberi bayangan bahawa, pemenang emas Sukan SEA 2019 itu mungkin tidak menyertai temasya dwitahunan tersebut.

Bagaimanapun, Afrita berkata, peluang masih terbuka untuk Farah Ann menyertai Sukan SEA pada saat-saat akhir jika beliau menjelaskan status terkininya bersama skuad kebangsaan sebelum 12 Mac 2022 (Sabtu) ini, iaitu tarikh akhir pendaftaran oleh pihak penganjur sukan itu.

"Saya boleh memberi bayangan bahawa Farah Ann mungkin tidak dapat bertanding dalam Sukan SEA.. tetapi kita masih ada lagi tiga hari untuk membuat keputusan.

"Namun, dalam masa tiga hari, sama ada kita ada pilihan atau tidak (untuk menyenaraikan Farah Ann dalam pasukan), tertakluk kepada Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada pihak teknikal dan para jurulatih dan mereka juga akan meneliti laporan perubatannya, sama ada beliau bersedia atau tidak untuk bertanding,” katanya pada Rabu.

Difahamkan MGF telah menghantar senarai akhir gimnas yang akan mewakili negara ke temasya tersebut kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa (8 Mac 2022).

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut memaklumkan pada sidang media pada Selasa bahawa, status penyertaan Farah Ann di Vietnam akan hanya diketahui pada Sabtu, berikutan badan induk itu masih menunggu kata putus daripada MGF.

Kedudukan gimnas kelahiran Selangor itu dalam pasukan kebangsaan masih menjadi teka-teki selepas beliau dilaporkan tidak mengikuti latihan selama tiga minggu dan dikatakan berkemungkinan untuk bersara.

Pada 1 Mac 2022, Afrita Ariany berkata Farah Ann mungkin menimbangkan untuk bersara kerana usia atau kecederaan, namun katanya, MGF masih terbuka untuk perbincangan sekiranya beliau memerlukan bantuan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Farah Ann, MGF, Hanoi, Vietnam, Sukan SEA