KERAJAAN Britain melakukan pembekuan ke atas aset milik pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich di negara itu berikutan hubungannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Selain Abramovich enam individu lain turut dikenakan tindakan sama atas alasan serupa termasuk Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan minyak Rusia Rosneft, Igor Sechin.
Menurut kerajaan itu, secara keseluruhan jumlah keseluruhan aset yang dibekukan bernilai sebanyak £15 bilion (RM82 bilion).
“Tidak ada tempat bagi mereka yang menyokong serangan ganas Putin ke atas Ukraine.
“Sekatan ini adalah langkah terbaru dalam sokongan tidak berbelah bahagi negara ini kepada rakyat Ukraine. Kami akan kejam dalam mengejar mereka yang melakukan pembunuhan ke atas orang awam, pemusnahan hospital dan pencerobohan haram sekutu berdaulat," kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.
Terdapat gesaan daripada orang ramai yang semakin meningkat daripada penggubal undang-undang Britain supaya tindakan diambil terhadap Abramovich dan oligarki Rusia yang lain.
Mereka mengkritik bahawa kerajaan Johnson tidak bergerak cukup pantas berbanding negara Eropah dan Amerika Syarikat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram