Latif Romly, Mun Yee kini bergelar Datuk


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

LATIF Romly (kiri) dan Mun Yee kini bergelar Datuk. — MSN

JAGUH para negara, Abdul Latif Romly menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk dalam satu Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada Selasa.

Berita itu dikongsikan menerusi laman sosial rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) sebentar tadi.

"Tahniah!!! Datuk. Atlet para olahraga, Abdul Latif Romly terima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk," tulisnya.

Jaguh lompat jauh (T20) yang dilahirkan di Kampung Paya Kelubi, Perlis itu sebelum ini memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik edisi ke 2016 di Rio.

Dia mencatatkan lompatan sejauh 7.60 meter sekali gus mencipta rekod dunia baharu.

Atlet berusia 24 tahun itu berjaya mempertahankan pingat emas dengan lompatan sejauh 7.45m pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Selain Abdul Latif, turut menerima darjah kebesaran sama, bekas atlet terjun negara, Leong Mun Yee.

"Awesome!!! Datuk @AngelaLeong. Bekas atlet terjun negara @AngelaLeong terima pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk," tulis MSN.

Seorang lagi atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerima pingat Johan Mahkota Wilayah (J.M.W).



Ridzuan turut menerima darjah kebesaran untuk pengorbanannya pada negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga atlet berkenaan serta berharap agar anugerah terbabit akan menjadi pemangkin semangat kepada semua atlet yang berjuang membawa nama negara.

"Setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Leong Mun Yee, bekas penerjun negara dan Datuk Latif Romly, atlet para negara yang dikurniakan pingat PWM yang membawa gelaran Datuk, manakala Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerima pingat JMW pada sesi istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

"Semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin semangat kepada semua atlet untuk terus berjuang membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi," tulisnya di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram