KEPUTUSAN sama ada pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal akan menyertai skuad kebangsaan pada saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja bulan ini, akan dimuktamadkan pada Isnin.
Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney ketika sidang media selepas perlawanan persahabatan antara skuad B-23 Malaysia dan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Beliau berkata, Isnin adalah tarikh akhir untuk memuktamadkan keputusan mengenai penglibatan pemain tengah berusia 20 tahun itu bagi kejohanan tersebut.
"Sejujurnya, kami kesuntukan masa, saya masih belum mendengar apa-apa (perkembangan) dalam tempoh 24 jam yang lalu, saya telah cuba berhubung dengannya dan seperti yang saya katakan, masa semakin suntuk, kami mungkin membuat keputusan pada Isnin (esok),” katanya.
Maloney berharap dapat menggunakan khidmat Wan Kuzri untuk skuad negara di Kemboja tetapi memandangkan pemain itu menghadapi beberapa masalah di AS, menyebabkan beliau tiada pilihan terpaksa membuat keputusan akhir esok bagi persiapan AFF B-23 yang ditetapkan bermula 14 Februari.
Pada perlawanan pada Sabtu, Malaysia B-23 seri 1-1 dengan Sabah FC menyaksikan anak didik Maloney, T. Saravanan menjaringkan gol pertama pada minit ke-76 sebelum Stuart Wilkins menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-81. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram