Matyo masih 'lapar'


  • Podium
  • Ahad, 06 Feb 2022

BEKAS pemain kebangsaan itu mengecapi pelbagai kejuaraan luar dan dalam negara sepanjang kariernya. — Facebook

MESKIPUN sudah usia 36 tahun, penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha tetap percaya dirinya masih relevan untuk membantu Melaka United meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini pada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Lebih dikenali sebagai Matyo, pemain yang berhijrah dari Sarawak United ke negeri Hang Tuah bagi musim 2022 itu turut optimis pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Risto Vodakovic mampu mencipta kejutan.

"Insya-ALLAH, walaupun dalam usia ini, saya masih laparkan kejuaraan. Saya percaya diri saya mampu membantu pasukan dan sebagai pemain, sudah tentu kita mahu meraih kejayaan.

"Terima kasih juga kepada pengurusan Melaka United yang sudi menerima saya dalam pasukan ini. Bagi kedudukan dalam pasukan, saya serahkan kepada pihak kejurulatihan untuk menentukannya," katanya kepada pemberita di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Ahad.

Bekas pemain kebangsaan itu juga yakin dengan kemampuannya untuk membentuk persefahaman bersama pemain lain dalam skuad Sang Kancil memandangkan ada yang pernah beraksi dalam pasukan sama.

Untuk rekod, Matyo merupakan antara pemain senior tempatan yang masih beraksi dan pernah meraih beberapa kejayaan antaranya juara Liga Super bersama Kelantan FA pada musim 2011 dan 2012 serta memenangi gelaran Liga Super Malaysia pada 2014 bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Beliau juga pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali ketika bersama Kelantan selain Piala FA bersama Pahang FA pada 2018 seterusnya membantu BG Pathum meraih kejuaraan Liga 1 Thailand pada 2020.

Bersama pasukan kebangsaan pula, beliau telah membuat lebih 80 penampilan dengan 14 gol di peringkat antarabangsa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bola sepak, matyo, melaka united, stadium, liga