Pembantu jurulatih Harimau Malaya: Jangan pilih calon sembarangan


  • Podium
  • Sabtu, 05 Feb 2022

FAM perlu ambil kira beberapa aspek sebelum menyenaraipendek pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya. — Gambar hiasan/The Star

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu melihat beberapa aspek sebelum menyenaraipendek pembantu jurulatih untuk skuad Harimau Malaya.

President Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, elemen seperti karakter, pengalaman dan umur calon jurulatih amat penting memandangkan individu terbabit akan memainkan peranan membantu pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-Gon "membina" DNA Harimau Malaya.

“Bagi saya, pembantu jurulatih yang dilantik FAM nanti perlulah ada satu karakter yang tegas selain mempunyai pengalaman mendalam tentang bola sepak Malaysia.

“Keutamaan juga harus diberikan kepada jurulatih yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro A. Jika jurulatih itu sekadar ada lesen (kejurulatih Pro) B, ada kemungkinan pemain sendiri tidak patuh arahannya.

“Ini kerana jurulatih itu yang akan menjadi 'orang tengah' antara pemain dan ketua jurulatih (Pan-gon). Jadi FAM harus memperhalusi semua elemen, baik karakter, umur mahupun pengalaman jurulatih itu,” katanya.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar sebelum ini berkata, badan induk itu tidak menetapkan ciri-ciri spesifik bagi mana-mana individu yang ingin mencalonkan diri mengisi jawatan tersebut.

“Kalau boleh FAM jangan cari individu yang terlalu muda atau terlalu tua. Cukup jika jurulatih itu mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Malaysia kerana dia lebih mengetahui pemain tempatan.

“Bukan maksud saya jurulatih muda tidak bagus. cuma takut kalau jurulatih muda dilantik, dia akan hanya mengikut arahan Pan-gon. Itu saya rasa mungkin tidak akan membantu prestasi pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut, Sathianathan melihat bekas pengendali Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan menetapi ciri-ciri yang disebutkannya itu.

“Saya lihat Zainal okay, beliau layak berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pemain kebangsaan dan jurulatih. Tapi terpulang kepada beliau sama ada berminat atau tidak jika mendapat tawaran FAM,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pula berpandangan pengalaman dan kualiti yang dimiliki seseorang calon jurulatih itu jauh lebih penting berbanding umur calon tersebut.

“Saya tak rasa umur akan memainkan penting dalam pemilihan penolong jurulatih. Apa yang perlu dilihat ketika ini adalah kualiti dan pengalaman yang dimiliki jurulatih itu.

“Saya setuju apabila FAM memberi kuasa kepada Pan-gon memilih pembantu yang dimahukan dalam mengendali pasukan kebangsaan. Tetapi FAM juga boleh mencadangkan beberapa nama kepada beliau.

“Sebab kita perlu faham, kadang-kadang ada ketua jurulatih dia tidak boleh kerja dengan sembarangan orang. Jadi apabila kita bagi dia apa yang kita mahukan tetapi dia tidak suka.

“Jadinya yang akan terkesan adalah pasukan kebangsaan itu sendiri. Sebaik-baiknya biarlah keputusan memilih penolong jurulatih itu melibatkan FAM dan Pan-gon,” ujar bekas Pengarah Teknikal FAM itu. Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram