PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis mengadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia.
Pada pertemuan di Perdana Putra pada tengah hari Khamis, BAM diwakili Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Timbalan Presiden 1, Datuk V. Subramaniam and Timbalan Presiden 2 Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah pemain perseorangan wanita negara dan bekas juara dunia remaja, Goh Jin Wei.
"Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia, dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” kata Ismail Sabri menerusi ciapan di akaun laman sosial, Facebook rasminya.
Jumaat lepas, BAM mengumumkan bahawa badan induk itu tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari 2022, selepas pemain ranking ketujuh dunia itu menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari 2022.
Namun, Selasa lepas, Mohamad Norza telah memberikan lampu hijau kepada Zii Jia untuk beraksi sebagai pemain profesional, selepas menerima rayuan dan mengadakan perbincangan dengan pemain tinggi lampai itu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram