Saya tahu pemain mana yang mahu keluar — Rangnick


  • Podium
  • Isnin, 24 Jan 2022

RALF Rangnick mengesahkan Manchester United sedang berunding dengan kelab-kelab pesaing untuk melepaskan beberapa pemain bintangnya. — Agensi

RALF Rangnick mengesahkan Manchester United sedang berunding dengan kelab-kelab pesaing dalam usaha untuk mencari penyelesaian bagi bintang-bintang yang mahu berpindah keluar.

Beberapa pemain berprofil tinggi dalam pasukan Man United dikatakan berminat untuk meninggalkan pasukan itu.

Jesse Lingard, Anthony Martial dan Donny Van de Beek adalah antara pemain yang dijangka meninggalkan Man United sebelum akhir Januari.

Sebelum kemenangan ke atas West Ham pada Sabtu, Rangnick mendedahkan Lingard merupakan pemain sasaran Newcastle United, manakala Sevilla dikatakan berminat terhadap Martial.

Pemain berprestasi tinggi di Ajax satu ketika dahulu, Van de Beek dilaporkan mahu mengangkat kaki dan menarik minat beberapa kelab.

Sebelum ini, Red Devils agak keberatan untuk mengurangkan jumlah pemain pasukan mereka kerana risiko untuk kehilangan pemain sekiranya berlaku wabak koronavirus.

Namun, komen terbaharu Rangnick menunjukkan Man United kini memberi kerjasama kepada pemain yang melihat masa depan mereka di tempat lain.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Saya tahu pemain mana yang mahu pergi meninggalkan kelab.

"Saya juga tahu ada beberapa rundingan kelab dilakukan tetapi saya tidak terlibat dalam perkara itu.

"Saya mungkin akan dimaklumkan kelak jika sesuatu berlaku.

"Kita semua hanya perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku," kata pengurus sementara itu.

Lingard dan Martial mendapati prestasi diri mereka semakin menurun sejak musim lalu.

Dengan pemain muda, Anthony Elanga mendapat peluang di pasukan utama, Marcus Rashford terpaksa berpuas hati sebagai pemain di bangku simpanan.

Rashford menjaringkan gol sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan terakhir Man United yang lalu.

"Kami mempunyai ramai pemain sayap dan pemain cemerlang untuk posisi itu.

"Jadon Sancho terlepas perlawanan menentang West Ham, namun kami mempunyai ramai pemain untuk dua posisi itu dan Marcus salah seorang daripadanya.

“Marcus berjaya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan berturut-turut, datang dari bangku simpanan, pasti dia dari awal berkeinginan untuk bermain dengan lebih kerap.

"Jika dia terus bermain pada tahap terbaik dan menjaringkan gol, sudah tentu ini adalah cara terbaik untuk kembali dalam pasukan dan bermain dari awal," tambah Rangnick.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram