Lima laluan sekitar Brickfields dilencong


  • 112
  • Sabtu, 22 Jan 2022

LENCONGAN melibatkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers, Jalan Rakyat dan Jalan Maarof.

LIMA jalan di sekitar Brickfields dilencongkan bermula 7 pagi bagi mengelak mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lencongan melibatkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers, Jalan Rakyat dan Jalan Maarof.

Beliau berkata, polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada mana-mana individu atau pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amihizam berkata, pengoperasian stesen membabitkan laluan Transit Aliran Massa (MRT), LRT, monorel dan Keretapi Tanah Melayu Berhad di sekitar ibu negara dihentikan sementara bermula 7 pagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur terutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan urusan masing-masing.

"Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengumumkan enam jalan utama di sekitar Kuala Lumpur iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail turut dilencongkan mulai 7 pagi Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram