SELEPAS sekian lama beraksi di Liga Premier sejak 2015 bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Irfan Fazail menetapkan sasaran baharu selepas mengalami beberapa 'episod duka' dalam kariernya.
Menurut Irfan, beliau mahu mendapatkan semula keyakinan beraksi di Liga Super selepas menyertai Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee secara pinjaman musim depan.
"Saya berasa bersemangat untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk tahun ini bersama Sabah FC.
"Saya juga masih lagi mencari keserasian dengan rakan sepasukan baharu yang lain.
"Sudah tentu, sebagai satu pasukan, kami akan berikan yang terbaik untuk menjulang piala musim depan," katanya kepada Majoriti.
Pemain berusia 31 tahun itu pernah bermain di bawah bimbingan Kim Swee ketika menjadi ketua pasukan kebangsaan bawah 23 tahun.
Pencapaian terbaiknya adalah pernah membawa pasukan negara mara ke pusingan akhir kelayakan ke Sukan Olimpik 2012.
Selain itu, dia juga menjadi sebahagian dari skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia pada pentas final.
Dia pernah dipinjamkan ke kelab Slovakia, FC Vion bersama Wan Zack Haikal dan Fadhli Shas pada tahun 2011 untuk tujuan pendedahan.
Namun selepas bersama JDT dari 2014, tuah tidak menyebelahinya apabila mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) sebanyak tiga kali iaitu pada 2014, 2016 dan 2018.
Kecederaan tersebut sedikit sebanyak membantutkan perkembangan karier Irfan yang banyak diletakkan di JDT II sejak dari 2015 sehinggalah musim lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram