PENJAGA gol baharu Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat enggan menjadikan statusnya selaku pemain berpengalaman sebagai tiket untuk berasa selesa, sebaliknya menganggap persaingan sengit menanti beliau bagi merebut tempat dalam skuad utama Sang Badak itu pada musim ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan pada Khamis berkata, bekas penjaga gol Kelantan FC dikenali sebagai 'Apek' itu menganggap Damien Lim, bekas penjaga gawang Negeri Sembilan FC, merupakan pemain berkualiti sehingga berjaya mencuri perhatian pengendali Datuk Ong Kim Swee untuk memperkuatkan gawang Sabah FC.
"Saya setuju dengan apa yang pernah dikatakan oleh Damien, iaitu akan berlaku persaingan sengit antara kami dan penjaga gol lain bagi merebut tempat.
"Apabila kami berada dalam satu pasukan yang sama, semua pemain akan bersaing bersungguh-sungguh dan ini sebenarnya akan menjadi motivasi kepada saya juga.
"Sudah tentu, saya juga kena bekerja lebih keras untuk memastikan posisi dalam kesebelasan utama dan tidak boleh ambil mudah dalam setiap perlawanan," katanya.
Pemain berusia 32 tahun itu menjelaskan keputusannya berhijrah ke Sabah FC sedikit sebanyak disebabkan kredibiliti Kim Swee, selain teruja dengan kehadiran pemain lain seperti dua bekas tonggak Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.
Khairul Fahmi juga mempunyai sasaran peribadi iaitu membantu Sabah FC mencipta pencapaian yang belum pernah diraih pasukan itu terutama di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.
"Sudah tentu saya ingin capai sesuatu bersama Sabah yang belum pernah mereka capai sebelum ini di samping ingin menjadi sebahagian sejarah baharu dengan pasukan ini.
"Dengan kehadiran pemain baharu yang lain ke Sabah, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan tinggi dan jika diberi masa, saya percaya kami mampu buat terbaik untuk membanggakan penyokong Sabah pada musim ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram