Peminat Blackburn hargai tindakan Shebby singkir ‘parasit’ kelab EPL


  • Podium
  • Khamis, 13 Jan 2022

SHEBBY merupakan penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013. — Blackburn Rovers

PEMINAT bola sepak tanah air pada Rabu dikejutkan dengan pemergian bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, pada usia 61 tahun secara mengejut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan bahawa Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri kira-kira pukul 7.30 malam.

Pemergian legenda bola sepak kebangsaan itu turut diratapi kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers yang memuatnaik satu hantaran Twitter bagi menghargai jasa bekas penasihat global mereka pada 2012-2013 itu.

"Blackburn Rovers berasa sedih mendapat tahu berita pemergian bekas penasihat kelab Shebby Singh.

"Takziah daripada kami kepada keluarga dan rakan Shebby ketika menghadapi detik yang menyedihkan ini," menurut ciapan kelab pada Khamis.

Sumbangan Shebby kepada kelab juga tidak dilupakan para peminat, terutamanya jasanya dalam menyingkirkan bekas jurulatih Blackburn, Steve Kean yang dianggap sebagai 'parasit'.

Menerusi balasan kepada ciapan Blackburn berkenaan, sebahagian peminat mengucapkan takziah kepada Shebby sambil berterima kasih kepada atas sumbangannya terhadap kelab.

"Berperanan penting dalam mengusir Kean yang menjijikkan itu keluar. Untuk itu kami akan sentiasa berterima kasih padanya. RIP Shebby," kata pengguna Twitter, @JonathanLobb.

"Jangan dilupakan beliau pernah menyingkirkan Kean si parasit itu," ujar @NornIronRovers.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982 hingga 1991, Shebby mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai pemain pertahanan kental sepanjang kerjayanya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram