Jasad Shebby dibawa ke Nirvana Memorial Centre Skudai untuk penghormatan terakhir


  • Podium
  • Khamis, 13 Jan 2022

SONULJIT pada masa sama menjelaskan proses bedah siasat mendiang Shebby berjalan lancar.

JASAD bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dibawa ke Nirvana Memorial Centre Jalan Skudai, Johor Bahru, Johor, pada petang Khamis untuk penghormatan terakhir selepas proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Anak lelaki mendiang Sonuljit Singh, 32, berkata, mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang boleh berbuat demikian bermula 4 petang Khamis sebelum jasadnya dibawa ke Krematorium Loke Yew di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

"Pada Khamis di Skudai, esok pula di Kuala Lumpur...jadi sesiapa yang ingin datang memberi penghormatan di Johor boleh datang. Esok pula kira-kira pukul 3 atau 4 petang di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA, Johor Bahru pada Khamis.

Sonuljit pada masa sama menjelaskan proses bedah siasat mendiang Serbegeth Singh, 61, atau lebih dikenali sebagai Shebby berjalan lancar.

"Sudah selesai tetapi pada masa ini, saya tidak seIesa untuk mendedahkannya (keputusan bedah siasat), dan saya harap (media) beri kami sedikit ruang,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan ucapan takziah atas pemergian bapanya.

"Terima kasih tidak terhingga atas ucapan kasih sayang dan penghargaan di media sosial, ia sungguh menakjubkan kerana baginya, beliau hanya mahukan yang terbaik untuk sukan bola sepak Malaysia. Macam cikgu, kadang-kadang marah, kadang-kadang puji tetapi pada akhirnya, beliau sayangkan bola sepak dan negara,” katanya.

Selain Sonuljit, turut kelihatan isteri mendiang Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta anak sulung mendiang, Natassha Kaur, menunggu di luar pagar Jabatan Perubatan Forensik HSA.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Polis, Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan Shebby meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, kira-kira 7.30 malam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram