PENUBUHAN Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya untuk menjalankan bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini, dilihat tidak relevan memandangkan Tan Cheng Hoe sudah meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih kebangsaan.
Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, sudah sampai masa menutup buku tentang kegagalan di Piala AFF tempoh hari tanpa perlu mengadakan bedah siasat.
"Melainkan bedah siasat ini mesti dilakukan bertujuan untuk menjawab pelbagai dakwaan dan perspektif serta persepsi negatif peminat tentang pembabitan 'tangan ghaib' dalam soal pemilihan pemain.
"Jika itu tujuannya, ada akan lagi banyak persoalan lain daripada peminat kelak seperti sejauh mana badan siasatan itu bebas daripada sebarang perkaitan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Apa pun keputusannya nanti, peminat tetap akan membuat pelbagai tafsiran negatif yang pelbagai.
"Adalah lebih baik 'move on' sahaja dan banyak bekerja daripada sekadar bercakap atau berlakon.
"Lagipun ini hanya sukan dan saya percaya tiada sebarang unsur jenayah, ugutan, paksaan atau rasuah dalam konteks pemilihan pemain yang menyebabkan Harimau Malaya kecundang.
"Semua yang berlaku dan jika berlaku unsur terbabit, ia atas dasar yang dipersetujui bersama. Jadi tiada pihak yang akan menjadi 'Pak Pandir' dalam isu ini," jelasnya kepada Majoriti.
BARISAN pemain dan kejurulatihan kebangsaan pada Piala AFF 2020. — Facebook FAM
Pada Jumaat (7 Januari), Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan penubuhan badan siasatan berkenaan yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.
Tugas utama badan bebas tersebut adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu, terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan berhubung prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF 2020 di Singapura.
Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya seterusnya akan dibentangkan oleh Dell Akbar, bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.
Tambah Pekan, semua peminat sudah mengetahui kelemahan skuad kebangsaan di Piala AFF 2020 walaupun tanpa sebarang hasil bedah siasat daripada badan siasatan bebas tersebut.
"Dah terang lagi bersuluh, tak perlu diminta membuka baju tetapi sudah terlondeh sendiri.
"Ini bukan lagi soal kuman di seberang lautan nampak tapi gajah di depan mata buat tak tahu. Sekarang ini belalai gajah pun boleh sentuh hidung kita, tak akan masih rabun lagi.
"Begitulah ibaratnya kualiti pasukan Harimau Malaya yang mudah sahaja dibenam oleh Vietnam dan Indonesia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram