FAM kena dengar cakap penyokong — Menteri


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jan 2022

FAM wajar memastikan suara peminat dan penyokong bola sepak didengari serta diberikan perhatian serius. — The Star

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu sentiasa memastikan suara peminat dan penyokong bola sepak didengari serta diberikan perhatian serius, gesa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sebagai badan bebas, FAM berhak membuat keputusan dan dasar sepenuhnya bagi menentukan hala tuju pasukan kebangsaan.

Justeru, beliau berpandangan amat wajar bagi FAM menubuhkan apa juga badan siasatan, lembaga penasihat atau apa juga tindakan yang pada hemat badan induk bola sepak tersebut boleh membantu mereka membuat keputusan.

"FAM beroperasi dengan bebas tanpa tekanan atau campur tangan mana-mana pihak. Mereka membuat keputusan dasar dan menentukan hala tuju pasukan bola sepak kebangsaan. Ini kerana FAM adalah badan di bawah gabungan FIFA.

"Sebagai peminat sukan dan bola sepak, saya berharap agar apa juga tindakan mereka mestilah menitik beratkan kebaikan jangka masa panjang sukan bola sepak negara.

"Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya mengesa agar FAM sentiasa memastikan suara para peminat dan penyokong bola sepak didengari dan diberikan perhatian serius," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan FAM menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu-individu di luar badan induk itu bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, pihaknya telah melantik bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan, untuk mengetuai badan siasatan bebas tersebut.

Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas ini terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

Tugas utama badan bebas itu adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura yang telah diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya itu akan dibentangkan Dell Akbar bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram