'Mana alumni UiTM yang dibanggakan?'


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jan 2022

RAMAI pemain UiTM FC dikhabarkan melangkah keluar daripada pasukan itu. — Facebook

NASIB pasukan UiTM FC ketika ini kekal menjadi tanda tanya selepas kelab tersebut masih belum mempunyai pemilik baharu.

Malahan beberapa pemain kelab itu seperti kapten Faizal Arif dan Khuzaimi Piee dilaporkan bakal berpindah ke pasukan baharu musim depan.

Faizal dikhabarkan bakal menyertai Sri Pahang FC manakala Khuzaimi berpindah ke Negeri Sembilan FC.

UiTM FC juga berdepan kemungkinan untuk menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga-M) susulan situasi tersebut.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, agak menghairankan apabila UiTM yang merupakan sebuah jenama Institut Pengajian Tinggi (IPT) terkemuka dengan jumlah enrolmen mencecah hampir 180,000 orang setahun, tidak dapat menjana sebarang sumbangan daripada para pelajarnya untuk membantu pasukan itu.

"Begitu juga alumni yang dibanggakan menjadi tokoh korporat dan jutawan serta usahawan berjaya dengan 'tagline' keramat iaitu 'UiTM di Hatiku' namun sepi membisu seribu bahasa.

"Mungkin mereka sanggup melihat sebuah pasukan yang sudah sampai tahap sejauh ini sejak layak beraksi dalam Liga Premier pada 2012 dan muncul pasukan pertama layak beraksi dalam Liga Super 2020, berkubur begitu sahaja," ujarnya kepada Majoriti.

Tambah Pekan, situasi Covid-19 yang melanda turut menyebabkan kantung pasukan itu hampir 'kering', sekali gus berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada Liga-M.

"Pihak pengurusan tertinggi terpaksa memberikan keutamaan peruntukan kewangan kepada hal-hal lain berkaitan pelajar.

"Pihak pengurusan juga mencuba sedaya upaya untuk membantu. Situasi samar-samar menyebabkan ramai pemain angkat kaki walaupun usaha mencari rakan penaja atau pemilik baharu masih dilakukan dalam waktu yang semakin suntuk.

"Jutaan ringgit diperuntukkan kepada pasukan tersebut musim lalu namun gagal mencapai sasaran ditetapkan selain terperosok di tempat tercorot Liga Super dan bakal beraksi dalam Liga Premier musim depan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pekan Ramli, UiTM FC, Liga Super, Liga-M, kewangan