Penang FC tagih kudrat ramai tonggak Bos Gaurus


  • Podium
  • Sabtu, 18 Dis 2021

Mohamad Rafiuddin kembali semula ke Penang FC selepas empat tahun. — Facebook

SELAIN Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC 'berselera' mendapatkan muka baharu untuk saingan Liga Malaysia musim depan, Penang FC juga tidak terkecuali.

Pasukan berpangkalan di utara Malaysia itu semakin giat membeli para pemain dari Perak FC apabila sah mendapatkan khidmat pemain sayap, Mohamad Rafiuddin Roddin.

Mohamad Rafiuddin yang boleh beraksi sebagai bek kiri bukan asing bagi skuad Penang FC apabila pernah menabur bakti bersama pasukan itu, sebelum berhijrah ke Perak FC pada 2017.

Terdahulu, skuad Harimau Kumbang mendapatkan khidmat beberapa pemain dari Perak FC iaitu penjaga gol Muhamad Hafizul Hakim; pemain sayap, Muhammad Adib Abdul Ra'op dan bek kiri, Ahmad Syamin Baharuddin.

Penang FC juga difahamkan semakin hampir mendapatkan khidmat seorang lagi pemain Perak FC iaitu bek tengah, Mohd Idris Ahmad.

Kesemua pemain berkenaan akan bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan iaitu Muhd Syazwan Zaipol Bahari, Shafiq Afifi Suhaimi dan Muhammad Fadhil bin Idris.

Selain itu, bekas pengurus Perak FC, Chong Yee Fatt turut dikatakan bakal menggantikan Tomas Trucha sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang musim depan.

Gabungan kesemua pemain berkenaan di Penang FC menyebabkan skuad tersebut digelar sebagai 'Perak 2.0' dalam kalangan para peminat bola sepak tempatan.

Kelab tersebut juga rancak mendapatkan beberapa pemain lain seperti Khatul Anuar dari Kuala Lumpur City FC (KL City), Azizzan Nordin serta Hamran Peter dari Sabah FC dan Zafuan Azeman dari Kelantan United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram