Harapan besar pemain ke-12 Bos Gaurus


  • Podium
  • Rabu, 24 Nov 2021

PENYOKONG Perak FC meletakkan harapan yang tinggi kepada pengurusan baharu kelab itu. — Gambar Fail

MASALAH tunggakan gaji, pemain 'angkat kaki' dan kemelut dalaman yang membelenggu Perak FC selama ini perlu dinoktahkan susulan pengambilalihan semua pegangan saham pasukan itu sepenuhnya oleh syarikat pengiklanan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd.

Itu antara hasrat beberapa kelab penyokong The Bos Gaurus yang dahagakan pembaharuan bagi melonjakkan semula pasukan ke tahap lebih baik dan berkualiti untuk bersaing semula dalam kancah bola sepak negara selain mengembalikan zaman kegemilangan. pasukan.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Perak The Bos Gaurus - More Organised Brotherhood Soul (TBG MOBS) Mohd Shirin Adenan berkata dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pengambilalihan ini sekurang-kurangnya mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang sering membelenggu pasukan sehingga menyebabkan penghijrahan pemain-pemain utama ke pasukan lain.

"Syukur ada yang sanggup ambil alih, sekurangnya masalah gaji dan pentadbiran diharapkan tiada lagi kami dengar. Kita kena beri peluang kepada syarikat ini untuk mengembalikan kegemilangan pasukan.

"Kami sebagai pemain ke-12 percaya ini juga antara sinar baharu dalam menarik minat dan sokongan terhadap Perak FC selain mencari pemain lebih berkaliber dan berkualiti untuk membawa pasukan ke era kegemilangan," katanya kepada Bernama.

Semalam, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata keputusan menjual saham pasukan Perak dilakukan hasil perbincangan dan kesungguhan ditunjukkan oleh pihak syarikat berkenaan.

Menurutnya, Pafa akan mengambil alih segala urusan Perak FC berkuat kuasa Selasa hingga segala urusan transaksi selesai dan semua urusan pengambilalihan Perak FC akan disegerakan dan seluruh urusan pasukan diserahkan kepada IMC.

Dalam pada itu, Pengerusi Die Hard Fanz (DHF) Roslan Mat Baharom berkata pengambilalihan dan tajaan baharu itu mampu melonjakkan semangat pemain dan juga pengurusan lebih teratur tanpa dihimpit beban kewangan yang sering kali mengganggu-gugat kelancaran pengoperasiaan pasukan.

"Tajaan itu sangat positif, bukan mudah untuk diperolehi ketika ini. Pengurusan juga tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan negeri sahaja kerana penglibatan syarikat swasta dan korporat juga penting.

"Pengambilalihan ini juga diharap dapat menyelesaikan masalah antara Pafa dan Perak FC agar tidak mengganggu perjalanan pentadbiran dan pengurusan pasukan," katanya.

Senada dengannya, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs) Syamsul Baharin Putra Ahmad Shib yang percaya pengambilalihan itu satu titik permulaan baharu untuk Perak FC namun kemelut dalaman pentadbiran juga perlu diselesaikan.

"Pengumuman semalam sesuatu yang mengejutkan kerana secara tiba-tiba 100 peratus pegangan saham telah dijual kepada syarikat berkenaan dan hanya beberapa gabungan persatuan bola sepak negeri sahaja dimaklumkan.

"Walaupun ada sinar tetapi ia jauh di hujung terowong. Kita mahu isu ini diselesaikan dan jangan disingkirkan gabungan persatuan yang lain. Semestinya tajaan baharu ini mampu membawa pasukan untuk lebih berdaya saing di masa hadapan," katanya.

Pada April, Perak FC menawarkan pegangan saham kelab bola sepak itu kepada mana-mana pihak yang berminat sebagai langkah menyelesaikan kemelut kewangan termasuk mengenai isu tunggakan gaji pemain.

Ia sekali gus menarik perhatian beberapa pihak termasuk jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman dan syarikat Kopa Arena yang terkenal dalam pengurusan sukan bola sepak termasuk aspek latihan dan padang untuk membeli saham pasukan Perak FC.

Selepas pengambilalihan dari IMC semalam, Perak FC menjadi kelab kelima melakukan penjualan 100 peratus pegangan syarikat secara sekali gus selepas Sri Pahang FC, PJ City FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan FC.

The Bos Gaurus tersingkir ke Liga Premier 2022 selepas menduduki tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan bertanding dalam Liga Super musim ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

IMC, Perak FC, Vida, Liga Super, The Bos Gaurus, JDT