
MALANG terus menimpa pemain perseorangan utama badminton negara, Lee Zii Jia selepas terpaksa pulang awal kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2021 di Bali, Indonesia pada Selasa.
Pemain berusia 23 tahun itu tunduk kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke walaupun berjaya menguasai set pertama dengan 21-11, sebelum Gemke bangkit memenangi set kedua dengan 25-23 dan menang perlawanan penentuan 21-16.
Ini adalah kekalahan kedua Zii Jia kepada Gemke selepas tersingkir pada pusingan pertama Masters Indonesia pada 16 November lalu selepas terpaksa menamatkan saingan pada kedudukan 9-11 akibat kecederaan belakang.
Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa acara beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman 25-23, 21-12.
Pasangan nombor enam dunia itu bakal bertemu pasangan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas pasangan itu mengalahkan satu lagi pasangan negara, Tan Kiang Meng-Tan Wee Kiong 21-11, 21-11.
Sementara itu, pasangan muda negara Goh Sze Fei-Nur Izuddin Mohd Rumsani juga layak ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan dari Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov, 22-20, 21-10.
Bagaimanapun mereka bakal berdepan cabaran sukar apabila dijadualkan bertemu pasangan juara Olimpik, Lee Yang-Wang Chi Lin, selepas pasangan dari Taiwan itu mengalahkan pasangan negara, Goh V Shem-Low Juan Shen 21-14, 21-16.
Bagi kategori beregu wanita pula menyaksikan pasangan Pearly Tan-M.Thinaah melepasi pusingan pertama selepas terpaksa berhempas pulas sebelum menang ke atas pasangan Clara Azurmendi-Beatriz Corrales dari Sepanyol, 22-20, 21-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram