BINTANG pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk dianggap sebagai antara pertahanan terbaik di dunia sejak perpindahannya ke Liverpool dan menetapkan satu tanda aras yang amat tinggi bagi pertahanan lain.
Kekuatan fizikalnya, bentesan yang tepat dan keras serta kehebatannya membaca serangan pihak lawan menjadikannya satu masalah bagi pemain lawan yang berhadapan dengannya.
Van Dijk tiba di England pada tahun 2015 apabila Southampton memutuskan untuk membawanya ke Stadium Saint Mary dari Celtic dengan harga hanya £13 juta (RM73.1 juta).
Persembahan yang mantap ketika menyarung jersi The Saints membuatkan Liverpool bertindak menyambarnya dengan harga £75 juta (RM421.8 juta) pada 2018.
Bekas pencari bakat Celtic, David Moss bagaimanapun mendedahkan, pemain antarabangsa Belanda itu sebenarnya mempunyai peluang untuk ke Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih awal lagi, namun banyak kelab yang tidak berani mengambil risiko.
Moss merupakan ketua bahagian pencari bakat Celtic ketika Van Dijk tiba di Scotland dari kelab Belanda, Groningen pada tahun 2013.
Menurut Moss, persembahan Van Dijk begitu menonjol di Liga Scotland dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.
“Ketika dia di Celtic, jumlah kelab EPL yang pernah menelefon saya dan bertanya tentang Van Dijk sangat banyak.
"Saya sering berkata perkara yang sama kepada semua pihak, dia ibarat lelaki dewasa yang bermain di taman permainan kanak-kanak. Dapatkannya dengan segera, jangan fikir tentangnya.
"Dia pantas, memenangi semua tandukan, anda tidak boleh menewaskannya satu lawan satu, dia boleh menghantar bola pada jarak 60 ela dengan kedua-dua belah kaki dan dia boleh menjaringkan sepakan percuma. Sukar dipercayai, saya mendapat pelbagai alasan," katanya.
Jelas Moss, antara alasan yang diberikan oleh kelab-kelab EPL ketika itu untuk tidak menandatangani Van Dijk adalah kerana persembahannya dalam Liga Juara-Juara serta tidak yakin dengan kemampuannya untuk beraksi di pentas yang lebih besar.
"Semua orang di Celtic mempunyai kepercayaan penuh terhadapnya, tetapi ramai orang dalam bola sepak tidak. Bagi saya, dia tidak memerlukan perpindahan ke Southampton, dia sudah bersedia untuk ke kelab 'big six' terus dari Celtic. Mereka hanya tidak cukup berani untuk membawanya masuk," tambahnya.
Sejak berpindah ke Anfield, Van Dijk menjadi antara aset terpenting dalam skuad sehingga membawa The Reds menjuarai Liga Juara-Juara pada tahun 2019 dan trofi EPL pada tahun berikutnya.
Dia juga pernah merangkul anugerah pemain lelaki terbaik UEFA serta Pemain Terbaik Tahunan PFA pada tahun 2019. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram