Wan Azizah letak jawatan penaung BAM


  • Podium
  • Jumaat, 05 Nov 2021

Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai penaung BAM pada Jumaat. — The Star

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Jumaat.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, ketika mengumumkan perkara itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Wan Azizah yang memegang jawatan itu sejak 20 September 2018 atas minat, semangat dan komitmen yang diberikan terhadap sukan itu serta pembangunannya di Malaysia.

"Setinggi-tinggi penghargaan kami kepada Dr Wan Azizah atas semua sumbangan beliau dalam sukan badminton dan BAM sejak tiga tahun lepas.

"Kami menghargai bimbingan, idea dan input Datuk Seri dalam usaha mengukuhkan persatuan secara keseluruhan. Sumbangan Datuk Seri kepada badminton Malaysia akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Mohamad Norza mengiringi Wan Azizah melawat ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap kerja pembangunan dan inisiatif cemerlang yang dilaksanakan BAM setakat ini.

Dalam lawatan itu, Wan Azizah turut diberi taklimat mengenai pelbagai kemudahan yang disediakan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain garis panduan kesihatan yang dikenakan kepada semua kakitangan kejurulatihan dan pemain di ABM bagi menjaga kesihatan dan keselamatan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram