Spurs menang tapi Conte belum puas


  • Podium
  • Jumaat, 05 Nov 2021

HEUNG-MIN (tengah) antara yang mencetak nama sebagai penjaring Spurs awal pagi tadi. — Agensi

TOTTENHAM Hotspurs kembali semula ke rentak kemenangan di bawah pengendali baharu Antonio Conte apabila menewaskan Vitesse Arnhem 3-2 dalam saingan Liga Konferens Europa di Stadium Tottenham Hotspur pada awal pagi Jumaat.

Susulan kemenangan sulung di bawah kendaliannya itu, Conte menyifatkan kelab tersebut memiliki potensi besar, namun melihat terdapat elemen kontra yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.

Pengendali baharu dari Itali itu berkata, masih banyak yang perlu ditambah baik dan setiap pemain memiliki ruang untuk memperbaiki prestasi daripada pelbagai aspek termasuk taktikal dan fizikal demi kebaikan pasukan.

"Saya tidak berapa suka apabila perlawanan 'gila' sebegini terjadi. Saya mahu satu skuad yang stabil. Kita perlu kesabaran untuk memperbaiki aspek tertentu.

"Apabila ada peluang untuk memusnahkan pasukan lawan, kita perlu berbuat demikian. Pastinya skuad kendalian saya ini telah menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi.

"Pastinya juga, skuad ini perlukan lebih kemenangan dengan merasai kegagalan," katanya kepada BT Sport.

Pada perlawanan Kumpulan G di London itu, Spurs meledak tiga gol menerusi Son Heung-min (14'), Lucas Moura (22') dan gol sendiri Jacob Rasmussen (28').

Sementara itu, Vitesse merapatkan jurang menerusi jaringan Rasmussen (32') dan Matus Bero (39') untuk kedudukan kekal 3-2.

Keputusan di laman sendiri itu menyaksikan Tottenham mengumpul tujuh mata setelah mengharungi empat perlawanan kumpulan, tiga mata di belakang pendahulu, Rennes (10 mata), manakala Vitesse di tangga ketiga (enam mata) sementara Mura yang masih gagal memperoleh sebarang mata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram