Vitesse Arnhem ujian sulung Conte bersama Spurs


  • Podium
  • Khamis, 04 Nov 2021

CONTE mahu menukar nasib Tottenham selepas dilantik sebagai pengurus menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat. — Getty Images

ANTONIO Conte akan mengendalikan Tottenham Hotspur buat kali pertama menentang Vitesse Arnhem dalam aksi Liga Conference Europa di laman sendiri pada awal pagi Jumaat selepas visanya diluluskan.

Pengurus baharu Spurs itu telah menandatangani kontrak selama 18 bulan di kelab itu dengan pilihan untuk dilanjutkan.

Beliau menyifatkan peluang menguruskan Spurs adalah satu bentuk 'penghormatan' dan berazam untuk 'membalas kepercayaan' pengerusi kelab, Daniel Levy dengan cuba menukar nasib kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sedang bergelut dengan prestasi tidak konsisten itu.

Pengendali dari Itali itu dilantik pada Selasa, sehari selepas Spurs memecat Nuno Espirito Santo berikutan kekalahan 0-3 di laman sendiri berdepan Manchester United.

Conte, yang membimbing Chelsea untuk gelaran EPL pada 2016/17 berkata, kesungguhan Levy meyakinkannya untuk menerima tugas berkenaan.

"Ia sesuatu yang hebat, penghormatan tinggi untuk menjadi pengurus Tottenham. Ini adalah peluang hebat untuk kembali ke England bersama kelab dengan pemain terbaik," katanya pada Rabu kepada Spurs TV.

"Kelab dan Daniel Levy sangat mahukan saya dan menjadi satu penghormatan untuk menerimanya. Kini sudah pasti saya mahu membalas kepercayaan itu."

Pengendali berusia 52 tahun itu mengetuai Inter Milan meraih gelaran Serie A pertama sejak 2010 pada musim lalu dan memecahkan dominasi sembilan tahun Juventus dalam liga Itali sebelum meninggalkan Nerazzurri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram