Hidilyn mahu bina pusat latihan angkat berat di Kampung Kesang Tua Melaka


  • Podium
  • Isnin, 01 Nov 2021

HIDILYN ketika menjalani latihan di Kampung Kesang Tua, Jasin. — AFP

JAGUH angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz bakal membina sebuah pusat latihan di Kampung Kesang Tua, Jasin dengan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi pembangunan sukan itu sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada Melaka.

Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, pemenang pingat emas Olimpik pertama Filipina itu, yang sedang menjalani kuarantin di kampung berkenaan menyatakan hasratnya, selain memperuntukkan wang sendiri berjumlah RM100,000 bagi merealisasikan projek tersebut.

"Malam tadi beliau menghubungi saya dan berbincang mengenai hasratnya menaik taraf tempat berlatih untuk digunakan oleh atlet angkat berat negara ini. Beliau memaklumkan atlet Filipina turut berminat mengadakan latihan di pusat berkenaan, sebagai persediaan mereka menghadapi pelbagai kejohanan.

"Beliau meminta saya untuk bertemu dengan kontraktor pada hari ini bagi membina dewan gimnasium angkat berat dan asrama untuk kemudahan atlet menginap di situ, selain mahu projek pembinaan itu dipercepatkan,” katanya pada Isnin.

Hidilyn tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu lalu, seterusnya menjalani kuarantin di Kampung Kesang Tua hingga 5 November ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Janius berkata, usaha itu sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet negara ini, untuk menimba ilmu dan pengalaman berlatih bersama juara Olimpik tersebut di samping melahirkan atlet yang mampu diketengahkan sekali gus mengembalikan kegemilangan sukan angkat berat di Malaysia.

"Bahkan selepas kejayaan Hidilyn yang mendapat liputan meluas, pihak kita juga menerima permintaan daripada beberapa persatuan angkat berat seperti dari Thailand dan India, yang mahu turut serta berlatih di tempat sama.

"Sejak rentas negeri dibenarkan, kita turut menerima kunjungan dan rombongan daripada pelbagai pihak untuk bergambar di tempat latihannya,” katanya.

Sebelum ini, nama Kampung Kesang Tua menjadi tumpuan susulan kemenangan atlet berusia 30 tahun itu di temasya Olimpik Tokyo baru-baru ini, selepas Hidilyn dikatakan terkandas dan menjalani latihan di Malaysia sejak Januari tahun lepas berikutan sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19.

Kejayaan wanita berasal dari Zamboanga City itu turut menjadi kebanggaan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua, yang menghabiskan masa bersama Hidilyn lebih setahun lalu di rumah berkenaan selain berkesempatan menghantar Hidilyn dan pasukannya ke KLIA untuk berlepas ke temasya Olimpik Tokyo. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram