Aksi lawan Thailand, Maloney mahu anak buahnya berpijak di bumi nyata


  • Podium
  • Sabtu, 30 Okt 2021

MALONEY mahu anak buahnya mengekalkan momentum ketika bertemu Thailand.

MESKIPUN skuad negara hanya memerlukan satu lagi mata untuk melepasi cabaran Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022, ketua jurulatih Brad Maloney mahu melihat anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan terakhir Kumpulan J menentang Thailand di Mongolia pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan anak buahnya agar terus berpijak di bumi nyata dan memberikan cabaran sengit kepada Thailand, yang juga antara pasukan pilihan, dalam usaha menamatkan kempen kelayakan itu dengan bergaya.

"Teruskan matlamat anda, kekalkan cara permainan kerana setakat ini, apa yang kita lakukan ternyata membuahkan hasil.

"Jadi, kita tidak perlu ubah terlalu banyak, kita hormat pasukan lawan namun kita akan tetap turun beraksi seperti yang kita lakukan dalam perlawanan lain dan menjangkakan ia akan menjadi satu pertarungan yang sengit,” katanya menerusi video yang dikongsikan kepada media oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata beliau puas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh anak buahnya sebelum mereka menentang pasukan Thailand pada Ahad dan mengulangi bahawa mereka akan menggunakan pendekatan sama ketika menentang Laos dan Mongolia yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Malaysia pada Isnin dan Khamis lepas.

Selepas meraih dua kemenangan, Malaysia kekal di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Thailand di tempat kedua dengan empat mata dan Mongolia dengan satu manakala Laos berada di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.

Juara bagi setiap kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua dalam kempen kelayakan itu akan mara ke pusingan akhir di Uzbekistan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram