Rexy Mainaky kembali lunaskan misi belum tercapai bersama skuad badminton negara


  • Podium
  • Rabu, 27 Okt 2021

REXY berterima kasih kepada BAM kerana memberi kepercayaan kepadanya melunaskan tugas untuk membimbing skuad badminton Malaysia. — The Star

LEGENDA badminton Indonesia, Rexy Mainaky kembali ke Malaysia sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan kerana tertarik dengan perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) khususnya membabitkan pemain muda negara.

Rexy juga mengatakan bahawa dia kembali ke pangkuan BAM kerana ada misi yang belum dilunaskan.

Katanya, perkara itu menjadi sebab utama dia menolak tawaran dari beberapa negara luar seperti England dan Filipina selain memilih untuk tidak menyambung kontrak lanjutan bersama Thailand.

"Saya kagum melihat perkembangan barisan beregu negara baik dalam acara lelaki dan wanita malah apa yang yang dipamerkan oleh beregu campuran juga tampak memberangsangkan.

"Justeru, inilah alasan kuat yang membawa untuk dirinya kembali ke Malaysia dalam usaha membantu skuad negara untuk membawa pulang emas pertama di temasya Olimpik nanti.

"Saya sudah berjaya bawa gelaran Seluruh England, juara Sukan Asia dan pelbagai lagi, namun satu yang belum dicapai iaitu membantu Malaysia membawa pulang emas Olimpik," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga berterima kasih kepada Tan Mohamad Sri Norza Zakaria kerana memberi kepercayaan kepadanya melunaskan tugas dan memberikan apa yang belum dapat berikan kepada BAM.

Sementara itu Rexy berkata, setibanya di Malaysia, dia akan mengadakan perbincangan bersama barisan jurulatih dan juga pemain untuk mengenal pasti arah tuju mereka.

"Tindakan itu penting bagi dia merangka perancangan awal yang mana misi utama ketika ini mencari jalan bagaimana pemain negara untuk menyerlah di Piala Thomas dan Uber pada Mei tahun depan.

"Kita akan bincang satu tahap ke satu tahap terlebih dahulu. Saya tak mahu campur-adukkannya kerana nanti boleh jadi kacau bilau," ujarnya.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 itu akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann.

Rexy akan menambah input teknikal ke dalam bidang prestasi utama dan secara spesifik akan diletakkan dalam acara beregu bersama skuad kebangsaan yang mana dia ditugaskan untuk mengawasi dan meningkatkan prestasi atlet.

Legenda berusia 53 tahun itu akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada 1 Disember 2021. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram