'Tak berani saya bawa masuk pekerja asing'


  • Primer
  • Sabtu, 23 Okt 2021

KERAJAAN akan membawa seramai 32,000 pekerja asing secara berperingkat untuk bekerja dalam sektor perladangan seawal bulan depan, kata Saravanan. — Bernama

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengakui tidak berani untuk membawa masuk pekerja asing kerana bimbang dipersalahkan jika terjadi perkara yang tidak diingini.

Menurutnya, beliau mahu melihat bagaimana pihaknya boleh mengikut prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

“Saya nak lihat bagaimana kita boleh ikut prosedur operasi standard (SOP) baharu.

“Dalam keadaan negara menghadapi Covid-19 ini, saya bukan berani sangat hendak membawa pekerja asing.

Apabila perkara-perkara tidak diingini berlaku, saya akan dituduh,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 di Seri Kembangan pada Sabtu.

Pada Jumaat, jawatankuasa tersebut meluluskan SOP kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara ‘case-by-case basis’ oleh Jawatankuasa Pekerja Asing, dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pada masa ini sektor perladangan sangat memerlukan pekerja asing, di samping kurangnya minat warga tempatan untuk bekerja di sektor terbabit.

“Walaupun saya kejam kepada pihak peladang, saya sedar mereka betul-betul memerlukan pekerja asing.

“Saya masih main tarik tali sebab saya masih mengharap ada pekerja tempatan akan mengambil peluang ini, tetapi warga tempatan tidak minat,” katanya.

Disebabkan itu, kerajaan akan membawa seramai 32,000 pekerja asing secara berperingkat untuk bekerja dalam sektor perladangan seawal bulan depan, kata Saravanan.

“Permintaan dari sektor perladangan sebanyak 32,000 pekerja asing, kita akan cuba sedaya yang boleh untuk bawa,” jelasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram