ATLET lompat tinggi Ukraine, Yuliya Levchenko merupakan salah seorang atlet wanita yang mencuri tumpuan ramai sewaktu temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ogos lalu.
Levchenko, 23, membuktikan bakat adalah segala-galanya berbanding rupa paras apabila melepasi jangkaan ramai pihak pada usianya masih muda.
"Saya mengambil masa tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini, ia merupakan tempoh masa yang panjang dan singkat.
"Peningkatan prestasi saya disifatkan sebagai 'sangat cepat' oleh semua orang. Kebanyakan atlet wanita mengambil masa 15 tahun untuk melepasi rekod lompatan dua meter.
"Setakat ini, saya gembira kerana berjaya mencabar diri sendiri dalam setiap kejohanan antarabangsa, saya rasa saya suka bersaing," katanya.
Levchenko bukan sahaja memilik wajah yang cantik tetapi juga berbakat. — Instagram Levchenko
Levchenko sememangnya amat menggemari tekanan dalam kejohanan besar, mengatasi rasa bimbangnya dan cuba mencabar dirinya ke tahap lebih tinggi.
Dia merupakan pemenang pingat perak ketika Kejohanan Dunia 2017. Sebelum itu, Levchenko menyertai kejohanan yang sama pada 2015 dan Sukan Olimpik 2016 namun gagal ke peringkat akhir.
Levchenko juga merupakan juara Eropah bawah 23 tahun pada 2017.
Rekod lompatan terbaik yang pernah dicatatkan adalah 2.02 meter dalam acara trek terbuka di Minsk, Belarus dan 1.99 meter dalam acara trek tertutup di Glasgow, United Kingdom (UK) pada 2019.
Levchenko turut popular di media sosial. — Instagram Levchenko
Pada 2017, Levchenko menduduki tangga kedua terbaik dalam acara lompat tinggi wanita di dunia. Malahan pada tahun yang sama, dia dianugerahkan European Athletics Rising Star of the Year.
Malangnya ketika saingan Olimpik Tokyo, Levchenko hanya mampu menduduki tangga kelapan.
Dianugerahkan bakat dan rupa paras serta fizikal yang menarik bak seorang model, Levchenko memiliki kira-kira 319,000 pengikut di Instagram.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram