Bukan sekadar bola, Salah juga seorang 'pendakwah'


  • Podium
  • Khamis, 21 Okt 2021

BUKAN hanya prestasinya berjaya mengubah tetapi perwatakan dan identiti Islam yang ada pada Salah itu sendiri mengubah tanggapan negatif terhadap Islam

NAMA Mohamed Salah sekali lagi menjadi tajuk berita bola sepak dunia ketika menghadirkan peranan besar buat Liverpool menewaskan Atletico Madrid 3-2 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu.

Lebih hebat daripada itu, 31 gol yang dijaringkan dalam 48 perlawanan menjadikan Salah sebagai penjaring gol terbanyak Liverpool dalam pertandingan Liga Juara-Juara.

Prestasi hebatnya dijadikan bahan berita oleh setiap agensi media dan segalanya nampak sempurna buat bintang dari Mesir ini.

Hakikatnya, sejak menyertai The Reds, ceritanya tidak hanya berkisar kepada permainan atas lapangan hijau tetapi lebih daripada itu.

Prestasi hebatnya juga turut mengubah segala skeptikal masyarakat Barat terhadap Islam khususnya di England, segala prasangka, prejudis dan segala tanggapan buruk seakan berubah.

Bukan hanya prestasinya berjaya mengubah tetapi perwatakan dan identiti Islam yang ada pada Salah itu sendiri menjadi penyebab.

Identitinya diserlahkan dengan tindakannya bersujud setiap kali menjaringkan gol dan menadah tangan setiap kali sebelum memasuki padang.

Malah Salah juga jarang mengulas mengenai apa-apa isu besar membabitkan soal politik atau pun isu keadilan sosial hingga menjauhkan dirinya dalam situasi kontroversi.

Publisiti dan perhatian diberikan media kepadanya juga seakan membantu sekali gus menggambarkan yang Islam itu sebenarnya indah.

Nyata identiti itu sebenarnya mengatasi prestasi hebat atas padang dan menjadi penyumbang terbesar kepada perubahan persepsi terhadap Islam.

Hakikatnya, tingkah laku yang dijelmakan Salah memberikan refleksi terhadap Islam dan menjadi sebahagian daripada dakwahnya kepada dunia.

Jadi tidak hairanlah jika perilaku Salah membawa kepada pengislaman seorang penyokong bola sepak seperti yang pernah dilaporkan media antarabangsa sebelum ini.

Menerusi laporan yang dikeluarkan The Guardian, penyokong Nottingham Forest, Ben Bird ambil keputusan memeluk Islam.

“Mohamed Salah benar-benar memberikan ispirasi kepada saya. Saya pemegang tiket bermusim Nottingham Forest dan saya kekal menjadi diri saya seperti apa yang saya ambil daripada Mohamed Salah.

“Selepas menjaringkan gol, Salah bersujud dan memperlihatkan sisi islamik kepada dunia. Berapa ramai yang menyaksikan Liga Perdana Inggeris? Berjuta-juta dari seluruh dunia.

“Apabila dia memenangi Liga Juara-Juara, saya berkata kepada rakan-rakan yang kejayaan itu adalah buat Islam,” kata Bird — Majoriti